Sejak akhir-akhir ini, isu wahabi dan sufi atau salaf dan
khalaf menjadi semakin panas. Di laman-laman sosial seperti facebook dan
twitter, entah berapa banyak status yang dikongsi oleh pengikut taksub
kedua-dua belah pihak yang saling menghentam antara satu sama lain.
Isu salaf khalaf ini sebenarnya bukanlah isu baru. Sejak
zaman perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu lagi, perbalahan antara salaf dan
khalaf sudah pun berlaku.
Dahulu, salaf digelar sebagai golongan muda sedang khalaf
pula digelar kaum tua.
Sebenarnya, apa masalah besar yang sering diperbalahkan oleh
dua kumpulan ini?
(Artikel di bawah adalah berdasarkan daripada artikel
ustaz ZaharuddinAbdul Rahman)
GELARAN BID'AH
1. Sekumpulan ilmuan yang digelar salafi atau wahabi
sering ‘membelasah’ amalan tradisi yang diamalkan oleh ilmuan tempatan dengan
nama bid’ah.
SOALAN : Mengapa sebahagian besar ilmuan tradisi
melenting apabila amalan yang diiktiraf dan diamalkan oleh mereka dilabel
sebagai bid’ah?
JAWAPAN : Kerana majoriti ilmuan salafi telah
berusaha sedaya upaya untuk mem’package’ kan bahawa amalan bida’ah itu adalah
satu dosa besar. Sebahagiannya menggambarkan bid’ah itu sebagai dosa kedua
besar selepas syirik. Selain itu, bid’ah juga digambarkan pula oleh
sebahagiannya pelaku bid’ah akan ke neraka disebabkan kerana amalan itu.
AKIBAT : Kumpulan ilmuan tradisi tentulah marah
dan merasa diserang, kebijaksanan dan keilmuan mereka dicabar secara ‘keras’
akibat dilabel sebagai pelaku bid’ah. Mereka merasa di ‘jahil’kan oleh kumpulan
tadi. Lantaran itu mereka membalas dan sebahagiannya mempertahankan diri.
PUNCA : Sangka buruk ilmuan salafi atau yang
digelar ‘wahabi’ bahawa kandungan ilmu, takwil dan takrifan yang dipegang oleh
mereka adalah yang paling tepat. Justeru setiap takrif yang tidak
bertepatan dengan mereka adalah salah dan sudah tentulah bid’ah.
SEPATUTNYA : Ada beberapa perkara yang
sepatutnya iaitu:-
Kedua-dua pihak secara adil dan tenang mengenalpasti isu
yang diperbezakan pandangan adalah terdiri dari isuqat’ie atau zanni
thubut dan dalalahnya. Jika ia bukan dari isu yang Qat’ie,
saya yakin sepatutnya kedua-duanya sewajarnya tahu dan faham bahawa dalam
sebarang hukum dan isu yang tidak disandarkan oleh dalil qati’e thubut dan dalalah,
mana-mana pihak tidaklah boleh secara putus atau muktamad meyakini pihak lain
sebagai salah dan dirinya sebagai wajib betul secara 100 %.
Tidak salah merasakan diri berpegang dengan pandangan yang
betul lagi tepat, tetapi yang salah adalah seolah-olah sudah confirm pandangan
lain adalah tersasar lalu menafi dan meremehkannya dengan cara yang keras atau
penuh sindiran.
Di hari akhir pengajian bersama Syeikhuna Al-Imam Dr Yusuf
Al-Qaradawi di Qatar baru-baru ini, beliau menjelaskan, proses tarjih (berijtihad)
untuk menentukan pandangan yang paling tepat dan lebih kukuh boleh dilakukan.
Selepas itu wajib pula ke atas pihak yang telah memilih untuk beramal dengan
pilihannya. Namun ia tidak sekali boleh memburukan (taqbih
al-mukhalifin) amalan dan pilihan pihak lain.
Apa yang patut dilakukan sepatutnya adalah menerangkan
kepada masyarakat akan mengapa pandangan yang dipegang olehnya lebih kukuh dari
pelbagai sudut, tanpa perlu dilekehkan hujah dan pilihan pihak lain. Tindakan
itu hanyalah sebagai salah satu tanggungjawabnya selaku ahli ilmu yang inginkan
orang ramai mengikuti pandangan yang lebih kukuh pada hematnya. Tapi jangan
sekali usaha itu dicemari dengan kutukan terhadap ilmuan yang berbeza pandangan
dengannya.
Apabila tindakan memperlekeh, menghina, mengutuk dan
membid’ahkan ini dilakukan, ia tidak lain hanya menaikkan amarah ilmuan
yang berbeza ijtihad dengannya. Kita harus faham, masing-masing ilmuan
mempunyai hak untuk berusaha mencari jalan terbaik untuk mencapai redha Allah
swt dan hampir kepada Rasulullah saw.
Alangkah baiknya, jika kita semua berlapang dada dan
bersangka baik terlebih dahulu terhadap usaha ilmuan beraliran lain dari kita.
Malangnya sangka buruk sering didahulukan, rasa ujub sering menyelubungi diri
merasa diri lebih hebat dan bijak serta alim dari pihak lain. Malah,
tergambar dibenaknya pihak ilmuan lain itu sengaja mengamalkan pandangan lemah
kerana inginkan sesuatu dari dunia yang murah ini, sengaja ingin menyesatkan
manusia dan membiarkan manusia ke neraka bersamanya!.
Saya amat berharap kita boleh bersangka baik, tiada siapa
yang waras dan berilmu sengaja inginkan dirinya sesat, menyesatkan orang lain
dan membawa mereka ke neraka.
GELARAN WAHHABI
SOALAN 2 : Mengapa kumpulan ilmuan yang
menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafi ini MELENTING, TIDAK PUAS HATI
apabila ilmuan tradisional (Khalaf) menyerang mereka dengan gelaran Wahhabi?
JAWAPAN : Kerana ilmuan khalaf ini telah
berusaha sejak sekian lama mem ‘package’ nama wahhabi sebagai ajaran sesat, mujassimah (menyatakan
Allah ada jasad dan jisim) dan terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah.
AKIBAT: Sebahagian besar ilmuan dari aliran ini
melenting dan tidak selesa dengan gelaran tersebut kerana seolah mereka
memperjuangkan ajaran sesat dan adakalanya ada yang menuduh mereka sebagai
kafir.
PUNCA : Memotong ayat dan sangka buruk yang
bersarang dalam diri sebahagian pembenci wahhabi. Bayangkan,
tidaklah saya faham mengapa kumpulan yang digelar Wahhabi ini boleh digelar
sebagaimujassimah, padahal hanya orang bodoh dan terencat aqal sahaja
yang akan berani mentajsimkan Allah dan menyamakannya dengan makhluk.
Masakan tidak, jika dirujuk kepada penulisan, ucapan dan
sumber kedua-dua ilmuan aliran sama ada khalaf (tradisional) dan salaf, AMAT
JELAS KEDUA-DUA MEREKA berpegang teguh kepada firman Allah :-
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Ertinya : Tiadalah yang menyerupai Allah dengan sesuatu
apapun (dari kalangan makhluknya) ( Surah Al-Shura :11)
Nah, justeru dari mana datangnya salah satu antara dua
aliran ini yang mengatakan Allah ada mata, tangan, kaki, kepala yang berjisim
dan menyerupai manusia atau mana-mana mahkluk lain?.
Hakikat sebenarnya, apabila kita merujuk kepada sumber
kedua-dua kumpulan akan kita dapati bahawa ulama kumpulan Salafi berijtihad
mengatakan tiada takwilan pada setiap perkataan yang Allah menyifatkan dirinya,
justeru apabila Allah mengatakannya
“Tangan Allah berada di atas mereka” (Surah Al-Fath : 10)
Kumpulan salafi ini berkata, ini bermakna Allah
ada mempunyai tangan, namun sifat tangan itu tidak sama dengan
manusia dan makhluk dan jangan ditanya perinciannya. Itulah ijtihad
ulama bermanhaj salafi.
Namun ada kumpulan yang sengaja mencari salah, lalu
‘memotong’ ijtihad di atas dari boleh diterima kepada suatu kesalahan. Mereka
mewarwarkan perkataan yang saya gariskan dan memotong huraian yang
sepatutnya, lalu kelihatanlah kumpulan manhaj salafi ini mengatakan Allah
punyai tangan macam manusia dan berjisim. Lalu mereka berusaha mensabitkan
bahawa pihak lain ini mentajsimkan Allah.