Saturday, 18 August 2012

Berduka dengan Pemergian Ramadhan


Tahukah anda bahawa di akhir Ramadhan ini kita akan ditimpa bencana yang amat besar? Bencana yang lebih dahsyat lagi daripada tsunami di Acheh yang mengorbankan jutaan nyawa, lebih teruk daripada gempa bumi di Iran yang berskala 6.4 magnitud skala ritcher, lebih buruk daripada banjir di Thailand yang dikatakan terburuk dalam tempoh 50 tahun dan lebih ganas daripada taufan di Amerika yang menyebabkan kemusnahan yang amat besar.
“Dari Jabir r.a. bahwa Rasulullah SAW. bersabda, “Jika malam Ramadhan berakhir, seluruh makhluk-makhluk besar, di segenap langit, dan bumi, beserta malaikat ikut menangis. Mereka bersedih kerana bencana yang menimpa umat Muhammad SAW…”
Digambarkan betapa dahsyatnya bencana ini sehinggakan seluruh makhluk, baik di langit mahupun di bumi akan menangis, bahkan malaikat juga tidak terkecuali.
“…Para sahabat bertanya: bencana apakah ya Rasul? ”
“Jawab Nabi: PEMERGIAN BULAN RAMADHAN…”
Countdown to the End of Ramadhan
Sedar tak sedar, kita sudah menghampiri detik-detik terakhir bulan Ramadan. Menyelak kembali lembaran sejarah, kita akan dapati para sahabat, tabi’ dan tabi’en, salafus soleh dan wali –wali Allah, sewaktu menghadapi pemergian bulan yang mulia ini, akan bersedih dan berduka dengan sebenar-benarnya. Kesannya, mereka akan melipat-gandakan segala amalan dan ibadah yang mereka lakukan dengan sebanyak mungkin pada akhir-akhir bulan Ramadhan kerana takut tidak dapat lagi untuk bersua dengan bulan Ramadhan pada tahun akan datang.
Sesungguhnya, golongan ini amat takut dengan pemergian Ramadhan. Justeru, mereka menjadikan amal ibadah yang mereka lakukan itu sebagai bekalan dan persediaan untuk menghadapi bencana besar yakni pemergian Ramadhan.
Mengapakah mereka amat takut dengan pemergian Ramadhan?

Promosi Allah sudah berakhir

Hal ini kerana, mereka sedar akan tawaran bonus yang disediakan oleh Allah swt pada bulan Ramadhan. Maka, pemergian bulan Ramadhan bermakna pemergian juga segala bonus dan kelebihan yang Allah swt tawarkan pada bulan ini. Bila lagi mereka akan dapat merasai kenikmatan bonus-bonus dan kelebihan-kelebihan di bulan Ramadhan ini? Amatlah rugi bagi mereka andai Ramadhan pergi meninggalkan mereka tanpa mereka dapat mereguk segala nikmat yang ada padanya. Ini yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai satu bencana buat mereka.
Kita juga sepatutnya berasa begitu. Mukmin yang sebenar akan berduka dengan pemergian Ramadhan sebagaimana berdukanya golongan yang disebut di atas. Amat malang bagi kita apabila menghampiri akhir bulan Ramadhan, kita meriahkan dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah bahkan mengundang kepada kemaksiatan seperti menonton rancangan hiburan yang melampau, bershopping sakan, bermuka buku sehingga lewat malam dan banyak lagi dengan alasan ingin meraikan kedatangan Syawal.
Sememangnya tidak dinafikan Islam menganjurkan umatnya untuk bergembira di hari raya. Namun anjuran itu adalah pada hari kejadian iaitu apabila masuk hari pertama Syawal, bukannya sebelumnya lagi. Pernahkan kita mendengar tentera berpesta sebelum mereka mencapai kemenangan? Begitulah juga kita di bulan Ramadhan. Selagi mana kita berada di bulan ini, selagi itulah kita berperang dengan hawa nafsu sehinggalah sampai kepada  hari kemenangan kita iaitu Aidil Fitri(itupun kalau ibadah di bulan Ramadhan dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh). Justeru, tidak wajar kita meraikan kemenangan sebelum sampai pada waktunya apatah lagi meraikannya dengan kemungkaran dan kemaksiatan kerana kita belum pasti adakah kita mampu mencapai kemenangan dengan sebenar-benarnyanya.
Oleh itu, marilah kita sama-sama mengimbau kembali segala nikmat, kelebihan dan bonus yang telah Allah sediakan kepada kita di sepanjang bulan Ramadhan. Sama-samalah kita bermuhasabah adakah kita berjaya merebut semua nikmat tersebut atau nikmat tersebut berlalu tanpa kita dapat mereguk walau sedikitpun kelebihannya.

Peluang yang kian menghilang
Berikut merupakan tawaran Allah khusus di bulan Ramadhan. Perginya Ramadhan bermakna pergi juga segala tawaran dan peluang ini.
1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa.

Selamat tinggal Ramadhan
Ingatlah, Ramadhan ini ibarat madrasah,tempat kita mentarbiyah dan melatih diri kita. Adat sebuah madrasah, pasti adanya ujian dan peperiksaan. Maka, peperiksaan untuk madrasah Ramadhan ini akan berlansung selama 11 bulan, bermula dari satu Syawal sehinggalah awal bulan Ramadhan yang seterusnya. Sudah bersediakah kita?Andai belum, masih belum terlambat untuk kita berubah. Oleh itu, ambillah peluang yang masih berbaki ini di saat-saat terakhir Ramadhan untuk terus memperbaiki dan mengkoreksi diri dengan memperbanyakkan amal ibadah dan amal soleh. Ambilah ruh Ramadhan dengan satu perubahan sikap yang istiqamah dan ikhlas kerana Allah swt. Insya Allah, dengan izin Allah, kita akan dapat merasai kemanisan meraikan hari kemenangan umat Islam yakni pada Hari Aidul Fitri nanti.

“Ya Allah! Janganlah Dikau jadikan puasa kali ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidupku. Seandainya Dikau menetetapkan sebaliknya, maka jadikanlah puasaku ini sebagai puasa yang dirahmati bukan yang sia-sia.”

Wallahua’lam

0 comments:

Post a Comment