Wednesday, 6 November 2013

Salaf vs Khalaf: Apa Sebenarnya Masalah Mereka?

Sejak akhir-akhir ini, isu wahabi dan sufi atau salaf dan khalaf menjadi semakin panas. Di laman-laman sosial seperti facebook dan twitter, entah berapa banyak status yang dikongsi oleh pengikut taksub kedua-dua belah pihak yang saling menghentam antara satu sama lain.
Isu salaf khalaf ini sebenarnya bukanlah isu baru. Sejak zaman perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu lagi, perbalahan antara salaf dan khalaf sudah pun berlaku.
Dahulu, salaf digelar sebagai golongan muda sedang khalaf pula digelar kaum tua.
Sebenarnya, apa masalah besar yang sering diperbalahkan oleh dua kumpulan ini?

(Artikel di bawah adalah berdasarkan daripada artikel ustaz ZaharuddinAbdul Rahman)

GELARAN BID'AH


1. Sekumpulan ilmuan yang digelar salafi atau wahabi sering ‘membelasah’ amalan tradisi yang diamalkan oleh ilmuan tempatan dengan nama bid’ah.

SOALAN : Mengapa sebahagian besar ilmuan tradisi melenting apabila amalan yang diiktiraf dan diamalkan oleh mereka dilabel sebagai bid’ah?

JAWAPAN : Kerana majoriti ilmuan salafi telah berusaha sedaya upaya untuk mem’package’ kan bahawa amalan bida’ah itu adalah satu dosa besar. Sebahagiannya menggambarkan bid’ah itu sebagai dosa kedua besar selepas syirik. Selain itu, bid’ah juga digambarkan pula oleh sebahagiannya pelaku bid’ah akan ke neraka disebabkan kerana amalan itu.

AKIBAT : Kumpulan ilmuan tradisi tentulah marah dan merasa diserang, kebijaksanan dan keilmuan mereka dicabar secara ‘keras’ akibat dilabel sebagai pelaku bid’ah. Mereka merasa di ‘jahil’kan oleh kumpulan tadi. Lantaran itu mereka membalas dan sebahagiannya mempertahankan diri.

PUNCA : Sangka buruk ilmuan salafi atau yang digelar ‘wahabi’ bahawa kandungan ilmu, takwil dan takrifan yang dipegang oleh mereka adalah yang paling tepat. Justeru setiap takrif yang tidak bertepatan dengan mereka adalah salah dan sudah tentulah bid’ah.

SEPATUTNYA : Ada beberapa perkara yang sepatutnya iaitu:-

Kedua-dua pihak secara adil dan tenang mengenalpasti isu yang diperbezakan pandangan adalah terdiri dari isuqat’ie atau zanni thubut dan dalalahnya. Jika ia bukan dari isu yang Qat’ie, saya yakin sepatutnya kedua-duanya sewajarnya tahu dan faham bahawa dalam sebarang hukum dan isu yang tidak disandarkan oleh dalil qati’e thubut dan dalalah, mana-mana pihak tidaklah boleh secara putus atau muktamad meyakini pihak lain sebagai salah dan dirinya sebagai wajib betul secara 100 %.

Tidak salah merasakan diri berpegang dengan pandangan yang betul lagi tepat, tetapi yang salah adalah seolah-olah sudah confirm pandangan lain adalah tersasar lalu menafi dan meremehkannya dengan cara yang keras atau penuh sindiran.

Di hari akhir pengajian bersama Syeikhuna Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradawi di Qatar baru-baru ini, beliau menjelaskan, proses tarjih (berijtihad) untuk menentukan pandangan yang paling tepat dan lebih kukuh boleh dilakukan. Selepas itu wajib pula ke atas pihak yang telah memilih untuk beramal dengan pilihannya. Namun ia tidak sekali boleh memburukan (taqbih al-mukhalifin) amalan dan pilihan pihak lain.

Apa yang patut dilakukan sepatutnya adalah menerangkan kepada masyarakat akan mengapa pandangan yang dipegang olehnya lebih kukuh dari pelbagai sudut, tanpa perlu dilekehkan hujah dan pilihan pihak lain. Tindakan itu hanyalah sebagai salah satu tanggungjawabnya selaku ahli ilmu yang inginkan orang ramai mengikuti pandangan yang lebih kukuh pada hematnya. Tapi jangan sekali usaha itu dicemari dengan kutukan terhadap ilmuan yang berbeza pandangan dengannya.

Apabila tindakan memperlekeh, menghina, mengutuk dan membid’ahkan ini dilakukan, ia tidak lain hanya menaikkan amarah ilmuan yang berbeza ijtihad dengannya. Kita harus faham, masing-masing ilmuan mempunyai hak untuk berusaha mencari jalan terbaik untuk mencapai redha Allah swt dan hampir kepada Rasulullah saw.

Alangkah baiknya, jika kita semua berlapang dada dan bersangka baik terlebih dahulu terhadap usaha ilmuan beraliran lain dari kita. Malangnya sangka buruk sering didahulukan, rasa ujub sering menyelubungi diri merasa diri lebih hebat dan bijak serta alim dari pihak lain. Malah, tergambar dibenaknya pihak ilmuan lain itu sengaja mengamalkan pandangan lemah kerana inginkan sesuatu dari dunia yang murah ini, sengaja ingin menyesatkan manusia dan membiarkan manusia ke neraka bersamanya!.

Saya amat berharap kita boleh bersangka baik, tiada siapa yang waras dan berilmu sengaja inginkan dirinya sesat, menyesatkan orang lain dan membawa mereka ke neraka.

GELARAN WAHHABI


SOALAN 2 : Mengapa kumpulan ilmuan yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafi ini MELENTING, TIDAK PUAS HATI apabila ilmuan tradisional (Khalaf) menyerang mereka dengan gelaran Wahhabi?

JAWAPAN : Kerana ilmuan khalaf ini telah berusaha sejak sekian lama mem ‘package’ nama wahhabi sebagai ajaran sesat, mujassimah (menyatakan Allah ada jasad dan jisim) dan terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah.

AKIBAT: Sebahagian besar ilmuan dari aliran ini melenting dan tidak selesa dengan gelaran tersebut kerana seolah mereka memperjuangkan ajaran sesat dan adakalanya ada yang menuduh mereka sebagai kafir.

PUNCA : Memotong ayat dan sangka buruk yang bersarang dalam diri sebahagian pembenci wahhabi. Bayangkan, tidaklah saya faham mengapa kumpulan yang digelar Wahhabi ini boleh digelar sebagaimujassimah, padahal hanya orang bodoh dan terencat aqal sahaja yang akan berani mentajsimkan Allah dan menyamakannya dengan makhluk.

Masakan tidak, jika dirujuk kepada penulisan, ucapan dan sumber kedua-dua ilmuan aliran sama ada khalaf (tradisional) dan salaf, AMAT JELAS KEDUA-DUA MEREKA berpegang teguh kepada firman Allah :-

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Ertinya : Tiadalah yang menyerupai Allah dengan sesuatu apapun (dari kalangan makhluknya) ( Surah Al-Shura :11)

Nah, justeru dari mana datangnya salah satu antara dua aliran ini yang mengatakan Allah ada mata, tangan, kaki, kepala yang berjisim dan menyerupai manusia atau mana-mana mahkluk lain?.

Hakikat sebenarnya, apabila kita merujuk kepada sumber kedua-dua kumpulan akan kita dapati bahawa ulama kumpulan Salafi berijtihad mengatakan tiada takwilan pada setiap perkataan yang Allah menyifatkan dirinya, justeru apabila Allah mengatakannya

“Tangan Allah berada di atas mereka” (Surah Al-Fath : 10)

Kumpulan salafi ini berkata, ini bermakna Allah ada mempunyai tangannamun sifat tangan itu tidak sama dengan manusia dan makhluk dan jangan ditanya perinciannya. Itulah ijtihad ulama bermanhaj salafi.

Namun ada kumpulan yang sengaja mencari salah, lalu ‘memotong’ ijtihad di atas dari boleh diterima kepada suatu kesalahan. Mereka mewarwarkan perkataan yang saya gariskan dan memotong  huraian yang sepatutnya, lalu kelihatanlah kumpulan manhaj salafi ini mengatakan Allah punyai tangan macam manusia dan berjisim. Lalu mereka berusaha mensabitkan bahawa pihak lain ini mentajsimkan Allah.

0 comments:

Post a Comment