Wednesday, 6 November 2013

Antara Menerang dengan Menyerang

(artikel ni hanyalah sekadar pendapat peribadi. Terbuka kepada sebarang nasihat dan kritikan untuk diperbetulkan)

Saya mula terdedah secara lebih mendalam kepada kepelbagaian aliran fahaman dalam Islam ini tatkala mula menjejak kaki ke universiti. Baik aliran fahaman akidah, syariah, mahupun siasah.
Pada mulanya memang agak keliru serta serba salah juga apabila berhadapan dengan kepelbagaian aliran fahaman ni (terutama yang melibatkan akidah), akan tetapi semakin lama masa berlalu, saya mula menyedari akan hakikat sebenar manusia itu sendiri.
Manusia sentiasa berselisih pendapat.

Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia ummat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka.
(Hud: 118-119)

Namun, setelah berinteraksi dan bergaul dengan semua golongan yang berbeza fahaman ini, dan mengadakan beberapa diskusi tidak rasmi (sembang-sembang), mengikuti beberapa pengajian daripada semua pihak, saya mula merasakan bahawa kebanyakan aliran-aliran fahaman ini sebenarnya boleh bersepakat kepada banyak perkara.

Lantas kenapa mereka masih terus berbalah?

Hal ini kerana sikap segelintir pengikut fahaman yang gemar mengwar-warkan perselisihan yang kecil sedang persepakatan yang besar dilupakan begitu sahaja.

Bagi saya, bukanlah tidak boleh lansung untuk berselisih pendapat dan mengkritik pendapat atau fahaman orang lain, akan tetapi andai kritikan itu hanya sekadar menimbulkan kebencian, apalah gunanya. Biarlah cara kita mengkritik itu bersesuaian.

Dalam erti kata lain, beradablah dalam berselisih.

Antara kesilapan kebanyakkan pengikut aliran fahaman yang pelbagai ini ketika cuba untuk membawa fahaman mereka kepada masyarakat adalah mereka ‘Menyerang’, bukan ‘Menerang’.

Mereka menyerang dengan melabel terus fahaman-fahaman tertentu dengan label-label yang negatif tanpa mengemukakan sebarang hujah atau dalil kukuh dan menganggap semua yang mempunyai kaitan dengan fahaman tersebut terpalit sekali dengan label-label tersebut.

Sebagai contoh, fahaman Wahabi dianggap sebagai fahaman yang sesat. Fahaman itu berpusat di arab Saudi. Maka, semua orang yang tinggal di arab Saudi atau belajar di sana dianggap sebagai sesat. Baik ulama’, asatizah, penghafal-penghafal Al Quran, semua dipalit sekali dengan labelan tersebut.

Begitu juga golongan habaib yang terkenal dengan tradisi kesufiannya. Sesetengah orang melabelkan fahaman sufi itu adalah bid’ah, lantas terus dibid’ahkan semua yang belajar dengan golongan habaib tidak terkecuali habaib itu sendiri.

Kemunculan media-media sosial seperti facebook dan twitter lebih memarahkan keadaan.

Melalui ,media sosial ini, golongan pengikut fahaman menyerang pula fahaman lain dengan mengambil status atau kenyataan ulama’ atau asatizah yang belainan fahaman dengan mereka untuk diperlekehkan begitu sahaja.

Facebook misalnya. Tidak perlu susah-susah, ambil sahaja status ustaz yang berlainan fahaman, tambahkan dengan status sendiri seperti “astaghfirullah”, “Masya-Allah”, “Na’udzubillah min dzalik” dan bermacam lagi lalu dikongsi begitu sahaja di facebook.

Status seringkas ini sudah cukup untuk menyatakan bahawa “ustaz ini berfahaman salah. Jangan ikut dia!”

Malah, ada juga yang menyerang terus peribadi ulama’ atau asatizah tertentu bagi menunjukkan fahaman mereka itu salah.

“Ustaz polan pernah gagal dalam pelajarannya di universiti. Layakkah dia mengajar agama! Inilah sikap ulama’-ulama’ ***.”

Kadang-kadang, saya tertanya sendiri , apa tujuan mereka menyerang sedemikian rupa?

Andai kata mereka ingin menarik orang yang berlainan fahaman dengan mereka itu mengikuti jalan yang mereka yakini benar, maka ketahuilah bahawasanya tindakan tersebut hanya menimbulkan kebencian di hati lawan mereka kerana fahaman dan tokoh mereka direndah-rendahkan tanpa adab.

Andai kata mereka ingin mengukuhkan fahaman sesama mereka dengan serangan seperti itu, maka ketahuilah bahawa yang lebih terkukuh adalah kebencian di hati mereka.

Andai pula mereka ingin mengelakkan orang awam terpengaruh dengan fahaman yang mereka anggap salah itu, maka ketahuilah bahawasanya orang awam akan menjadi pening melihat pertelingkahan sesama Islam lantas menimbulkan rasa benci kepada Islam itu sendiri kerana memeningkan mereka.

Pendek kata, budaya menyerang ini hanyalah semata menimbulkan kebencian dalam kalangan umat Islam. Natijahnya, perpecahan yang sangat ditegah oleh Islam

Sebaliknya, ubahlah cara kita membawa fahaman kita. Menerang, jangan menyerang. Menerang dalam erti kata memberikan dalil-dalil dan hujah-hujah secara ilmiah apa isi fahaman kita itu. Dan andai ingin mengkritik pun, kritiklah secara beradab.

Ulama’ telah pun cuba memberi solusi dalam masalah perselisihan pendapat ini. Maka muncul ilmu yang digelar fiqh ikhtilaf.

Bacalah, kajilah, pelajarilah.

Sahabat,  banyak lagi yang kita tidak tahu.

Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment