Wednesday, 5 March 2014

Autoriti Ulama' dalam Islam

Islam sebagaimana yang telah diturunkan oleh Allah azza wa jalla bukan sekadar sebagai sebuah agama, tetapi ia merupakan sebuah ad deen, yakni  satu jalan hidup yang lengkap, meliputi semua aspek kehidupan.
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan untuk kamu nikmatKu dan telah Aku reda bagi kamu Islam sebagai agama kamu.”
(Al  Maidah: 3)
Oleh kerana Islam merupakan ad deen yang lengkap, maka sewajarnya umat Islam meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya jalan penyelesaian bagi masalah umat atau penawar bagi penyakit dunia.
Al Quran dan Hadis Nabawi sebagai sumber utama
Dan seluruh ajaran Islam itu dirangkumkan akan segala asas dan prinsipnya di dalam sebuah kitab yang agung, iaitu Al Quran al Karim. Maka jadilah Al Quran itu kita yang lengkap, yang menerangkan segala urusan hidup, baik di dunia, mahupun di akhirat.
“Dan kami turunkan kepadamu Al Quran untuk menerangkan segala-galanya dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang muslim.”
(An Nahl: 89)

Seterusnya, kitab Al Quran ini diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya baginda s.a.w. dapat menerangkan dengan lebih jelas isi kandungan Al Quran kepada umat Islam. 

Oleh itu, antara fungsi hadis dalam Islam ialah sebagai menerangkan isi kandungan Al Quran. Tanpa hadis, umat Islam tidak akan dapat memahami Al Quran dengan jalan yang dikehendaki oleh Allah azza wa jalla.
Justeru, Al Quran dan hadis merupakan dua sumber yang tidak dapat dipisahkan. 
Hal ini sudah cukup untuk menyangkal sanggahan orang yang menolak hadis sebagai sumber perundangan Islam.
Maka, daripada sini, dapatlah disimpulkan bahawa dua sumber rujukan utama untuk memahami ajaran Islam adalah Al Quran dan Hadis. Janji Rasul saw bagi siapa yang berpegang kuat dengan keduanya adalah:
"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dansunnah Rasulullah," (s.a.w.).
(Riwayat Imam Malik)
Autoriti Ulama’
Setelah kewafatan Rasul s.a.w. teks dan nas Al Quran dan As sunnah masih perlu difahami dengan kefahaman yang sebenar. Nas-nas Al Quran dan as Sunnah perlu difahami bukan sahaja dari sudut zahir teksnya semata-mata, bahkan perlu diteliti dari sudut makna tersurat bagi dalil-dalil tersebut.
Golongan yang paling layak untuk melaksanakan tugas tersebut mestilah golongan yang paling arif dengan teks Al Quran dan As Sunnah. Mereka adalah golongan yang bergelumang dengan ilmu Al Quran dan As Sunnah selama berpuluh-puluh tahun. Menghabiskan kebanyakkan daripada umur mereka untuk mengkaji apa yang terkandung di dalam kedua sumber tersebut. Mengorbankan masa dan waktu mereka untuk mengeluarkan hukum daripada kedua teks tersebut bagi menyelesaikan masalah umat pada zaman mereka dan zaman yang akan datang.
Mereka inilah golongan yang dipanggil sebagai ulama’. Dan golongan ini telah diangkat darjat oleh Allah azza wa jalla sebagaimana disebut di dalam Al Quran:
"Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat."
(Al Mujaadilah: 11)
Seterusnya Rasul s.a.w. mengiktiraf pula golongan ulama’ ini sebagai pewaris para nabi disebabkan keilmuan yang ada pada mereka.
Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, sesungguhnya para Nabi tidak meninggalkan dinar mahupun dirham sebaliknya mereka meninggalkan ilmu dan barangsiapa yang mengambilnya sesungguhnya dia telah mengambil sesuatu yang sangat berharga.”
(Riwayat At Tirmidzi)
Ulama’ juga merupakan orang yang paling takut kepada Allah.
“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah al-Ulama”
(Al Fatir: 23)
Sebagai golongan yang paling tinggi ketakutannya kepada Allah, ulama’ akan sentiasa berusaha untuk memastikan mereka tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam kerana tindakan tersebut akan mengundang kemurkaan Allah.
Rasul s.a.w. seterusnya menekankan sekali lagi autoriti ulama’ sebagai pemimpin ummah di dalam sabda baginda s.a.w.:
Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan mencabutnya dari jiwa hamba-hamba-Nya, tetapi Dia mengangkat ilmu dengan dimatikan para ulama sehingga tiada seorangpun orang alim, manusia mengangkat orang-orang jahil sebagai ketua mereka, maka mereka ditanya lalu mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu, lalu mereka menjadi sesat dan menyesatkan”
(Riwayat Bukhari)
Ulama’ dan Kasta Paderi
Ulama’ adalah berbeza dengan para rabbi bagi yahudi dan paderi bagi kristian. Hal ini kerana rabbi dan paderi mengajar melalui sumber perundangan yang telah diubah suai dan diselewengkan sedang ulama’ Islam mengajar berlandaskan sumber yang Allah azza wa jalla sendiri berjanji akan memeliharanya yakni Al Quran.
Doktor Ummah
Akhir kalam, buat mereka yang masih lagi meragui autoriti ulama’ dalam sumber perundangan Islam, marilah kita sama-sama bermuhasabah. Tatkala kita ditimpa penyakit, kita meletakkan keyakinan kita kepada para doktor untuk merawat penyakit kita kerana mereka adalah golongan yang paling arif dalam ilmu perubatan. Maka, mengapa tidak dilakukan perkara yang sama dalam hal merawat penyakit umat? Sebagai seorang muslim, kita menyakini bahawa Islam adalah satu-satunya jalan penyelesaian bagi masalah ummah. Dan segala ajaran Islam itu terkandung di dalam Al Quran dan As Sunnah. Golongan yang lebih memahami kedua-dua sumber tersebut adalah golongan ulama’. Justeru, mengapa perlu kita mempertikaikan lagi kedudukan ulama’ di dalam sumber perundangan Islam?
Wallahua’alam

Rujukan
1. Al Quran
2. Islam, Fikrah, harakah dan Daulah, Tuan Guru Abdul hadi Awang
3. Muqaddimah Aqidah Muslimin, Tuan Guru Abdul Gadi Awang
4. http://www.manhal.pmram.org/2014/02/bagaimana-al-quran-sendiri-menyelar.html
5. http://zuridanmdaud.blogspot.com/2013/09/ulama-kedudukan-dan-peranan-mereka.html