Saturday, 6 September 2014

Memahami Konsep Syura dalam Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah

Pada bulan Zulkaedah tahun ke 6 hijrah, Rasulullah S.A.W. telah menyuarakan hasrat baginda untuk menunaikan umrah di Mekah kepada para sahabat setelah baginda bermimpi bahawa baginda dan para sahabat masuk ke dalam kota Mekah dalam keadaan bercukur dan bergunting rambut.
"Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada RasulNya tentang kebenaran mimpinya bahawa kamu pasti akan memasuki masjidil haram, dalam keadaan aman dengan mencukur rambut kepala dan memendekkannya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang kamu tidak kamu ketahui dan selain itu Dia telah memberikan kemenangan yang dekat"
(Surah Al-Fath: 27)
Setelah berbincang, Rasulullah S.A.W. dan para sahabat telah bersetuju untuk pergi berkunjung ke Mekah pada tahun itu juga.

Konflik
Namun, tatkala rombongan umat Islam sampai ke hudaibiyah, berlaku beberapa kejadian yang akhirnya membawa kepada peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Penerimaan Rasulullah S.A.W terhadap kandungan perjanjian tersebut telah menimbulkan kesedihan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan para sahabat. Hal ini kerana Rasulullah S.A.W. bukan sahaja membelakangkan keputusan yang telah dipersetujui bersama iaitu untuk tetap menziarahi Baitullah pada tahun itu juga, bahkan keputusan Baginda untuk menerima perjanjian tersebut lansung tidak dirujuk oleh sesiapapun dalam kalangan sahabat. Selain itu, isi kandungan perjanjian tersebut juga seakan merugikan umat Islam. Kesedihan para sahabat terhadap isi kandungan perjanjian itu terzahir dengan jelas tatkala para sahabat memberontak tidak mahu melaksanakan perintah Rasulullah S.A.W. untuk bertahalul.

Akan tetapi berkat tarbiyah yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W. dan kuatnya iman mereka terhadap Allah SWT, perlahan-lahan para sahabat memujuk hati mereka dan terus kekal berada di atas landasan perjuangan yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. 
Akhirnya, ternyata apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. itu adalah satu tindakan yang terbaik. Peristiwa perjanjian Hudaibiyah akhirnya membuka pintu kemenangan kepada umat Islam untuk menakluk kota Mekah.
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Agar Allah memberikan leampunan kepadamu (Muhammad) atas dosamu yang lalu dan yang akan datang, serta menyempurnakan nikmatNya ke atasmu dan menunjukimu ke jalan yang lurus. Dan supaya Allah memberikan pertolongan (untuk mencapai kejayaan) kepadamu dengan pertolongan yang mulia"
(Surah Al-Fath: 1-3)

Konsep Syura
Almarhum Prof Dr Ramadhan al Buti ketila menghuraikan sirah ini di  dalam kitabnya Fiqh Sirah berkata:

"Telah kita ketahui bahawa semua tindakan Rasulullah S.A.W. menunjukkan disyariatkan syura dan keharusan seorang pemimpin untuk berpegang teguh kepada prinsip ini. Perbuatan Nabi S.A.W. menunjukkan tabiat syura dan tujuan disyariatkan syura. Syura adalah syariat Islam tetapi tidak bersifat mengikat (pimpinan), sebab tujuan syura ialah untuk mendapatkan pelbagai pandangan kaum muslimin dan mencari kemashalatan yang mungkin hanya diketahui oleh sebahagian orang atau untuk memperoleh kerelaan jiwa mereka. Apabila seorang penguasa Muslim merasa mantap dengan pendapat mereka atas dasar dalil-dalil dan hukum-hukum syariat maka dia boleh mengambilnya..."
Dalam kenyataan di atas, dapatlah difahami bahawa syura itu merupakan sebahagian daripada syariat Islam. Justeru, wajib ke atas pemerintah muslim untuk melaksanakan syura dalam pemerintahan mereka. Walaubagaimanapun, syura sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr Said Ramadhan Al Buti tidak meletakkan kuasa untuk membuat keputusan itu di tangan ahli majlis syura, bahkan ia kekal di tangan pemerintah untuk membuat keputusan. Syura hanya berfungsi untuk meneliti dan menimbang tara pandangan yang mana akhirnyakeputusan terakhir dibuat oleh pemerintah itu sendiri. Hal ini lebih jelas di dalam kenyataan Dr Ramadhan Al Buti yang seterusnya di dalam buku yang sama:
"Ini bererti bahawa masalah syura harus tunduk kepada hukum wahyu yang adalah sekarang berupa Al Quran, As Sunnah dan Ijma' pada imam. Ia juga menunjukkan syura itu disyariatkan hanya untuk mendapatkan pandangan, bukan untuk mengundi suara"
Atas sebab ini, pemimpin juga mempunyai kuasa untuk meninggalkan keputusan syura atas kemaslahatan tertentu selagi mana apa yang diputuskan oleh pemimpin itu tidak bercanggah dengan Islam. Sirah Rasulullah SAW dalam peristiwa hudaibiyah menjadi dalilnya apabila rasulullah sendiri meninggalkan keputusan yang dicapai bersama para sahabat untuk masuk ke kota Mekah dengan mengambil keputusan sendiri untuk menerima perjanjian hudaibiyah.
Wallahua'lam.

Rujukan:
Fiqh Sirah Dr Said Ramadhan Al Buti
Sirah Nabawiyah Mustapha As Sibaie