Friday, 17 August 2012

Istiqamah Dalam Beribadah

“Masya-Allah, ramainya orang!”

Malam pertama Ramadhan, bilangan jemaah yang bersolat tarawih di masjid itu amat mengejutkan saya. Apa tidaknya, jemaahnya melimpah sehingga ke ruang belakang bawah masjid, suatu keadaan yang hanya boleh dilihat sewaktu solat Jumaat walaupun pada hakikatnya perkara itu adalah normal bagi sebuah masjid yang terletak berdekatan dengan penempatan pelajar matrikulasi.
“Kite tengok berapa lama boleh bertahan…” seorang sahabat yang sedari tadi mengekori saya membisikkan kata-katanya itu kepada saya. Saya sekadar tersenyum.
Satu Realiti
Sebagai seorang Muslim, kita disarankan untuk sentiasa bersangka baik dan mendoakan yang terbaik kepada Muslim yang lain tatkala kita melihat mereka melakukan amal kebaikan. Namun, kata-kata sahabat saya itu ada benarnya. Ia hanyalah pendapat yang terbit daripada pemerhatiannya sebagai seorang Muslim terhadap sikap umat Islam di negara ini khususnya sewaktu menyambut bulan Ramadhan. Memang kebiasaanya pada awal-awal bulan Ramadhan, masjid-masjid akan dipenuhi dengan manusia yang cukup bersemangat untuk mengimarahkan Ramadhan.
Persoalanya, berapa lamakah semangat itu akan bertahan?
Pertengahan Ramadhan, sememangnya bilangan jemaah semakin berkurang. Ruang bawah yang sebelumnya dipenuhi oleh jemaah, kini lengang. Yang ada hanya sekadar beberapa orang yang melakukan ibadah nafsi. Bersolat dan membaca Al-Quran. Betul kata-kata sahabat saya yang seorang ini.
Semangat Sekerat
“Bulan Ramadhan kali ni, aku nak solat tarawih straight 30 hari 20 rakaat!”
“Al-Quran, aku nak khatamkan 3 kali bulan Ramadhan kali ni. Confirm!”
“Qiamullail 12 rakaat Ramadhan tahun ni. Pastikan gerak aku sebelum ko sahur.”
Inilah penyakit umat Islam negara kita (bahkan sebenarnya seluruh dunia) apabila berhadapan dengan permulaan Ramadhan. Kita akan berasa bersemangat pada permulaan bulan Ramadhan untuk melaksanakan segala macam bentuk ibadah bagi memeriahkan dan mengimarahkan penghulu segala bulan ini akan tetapi pada seawal pertengahan Ramadhan lagi semangat ini semakin berkurang dan berkurang dan akhirnya, di akhir-akhir bulan Ramadhan, jadilah masjid-masjid dan surau-surau itu seperti sediakala, iaitu lengang daripada jemaah. Al Quran yang hendak dikhatamkan, terbiar tersadai di atas meja dan qiamullail yang hendak dilazimkan digantikan dengan marathon movie sehingga ke subuh.
Malam-malam terakhir Ramadhan yang sepatutnya diisi dengan amal-amal ibadah yang sebanyak-banyaknya, sekadar terisi dengan mesyuarat, perbincangan dan forum-forum berkaitan baju raya, kuih raya dan segala macam lagi yang berkaitan dengan raya sedangkan pada waktu itulah Allah swt akan menurunkan satu malam yang tersangat agung yang darjatnya sama seperti seribu bulan yakni Malam Al Qadr sebagaimana sabda Rasulullah saw:
“Tuntutlah Lailatul Qadr pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Tidak perlulah dijelaskan lagi tentang malam Al Qadr kerana semua sudah maklum akan kelebihan dan keutamaan malam tersebut. Maka, amatlah rugi bagi mereka yang mensia-siakan malam itu apatah lagi mengisi pula malam itu dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah, lagha, bahkan lebih teruk lagi maksiat-na’uzubillah min dzalik-.
Tiga Perkara
Justeru, bagaimanakah kita hendak mengubati penyakit yang kian membarah ini? Dalam hal ini, alim ulama’ telah menggariskan beberapa kaedah atau cara untuk memastikan diri kita ini kekal dalam beribadah.

  1. Sentiasa berdoa kepada Allah swt agar diberikan kekuatan dan ketaatan untuk terus melakuklan ibadah. Ini kerana pada hakikatnya kekuatan dan ketaatan itu adalah milik Allah semata-mata. Hanya Allah Azza Wa Jalla   sahaja berhak untuk memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Antara doa yang boleh diamalkan:
    اَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ 
” Ya Allah ya Tuhanku, Bantulah aku untuk terus mengingati-Mu, dan bersyukur kepada-Mu, dan melaksanakan ibadah dengan baik kepada-Mu”
      يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ  ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى   دِينِكَ
“Ya Allah Yang Maha membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati ini di atas agama-Mu”
  1. Menjaga percakapan, pendengaran dan penglihatan. Menjaga percakapan dengan cara menghalang diri kita daripada menyebut perkataan-perkataan yang kesat, mencarut, menipu, mengadu domba dan bermacam lagi. Menjaga pendengaran melalui memeliharanya daripada mendengar perkara-perkara yang tidak bermanfaat, umpatan, dan kata-kata kotor. Menjaga peglihatannya daripada melihat perkara-perkara maksiat seperti aurat mereka yang bukan mahram, gambar-gambar lucah, adengan-adengan tv yang tidak elok dan lain-lain. Barangsiapa yang berjaya menjaga ketiga-tiga pancaindera ini, bermakna dia telah berjaya menjaga satu lagi pancaindera yang tersangat penting, pancaindera ke 6 iaitu hati yang merupakan pusat kepada segala kebaikan. Sabda Rasulullah S.A.W:
“Ketahuilah bahawasanya di dalam jasad itu ada seketul daging. Apabila baik daging itu, maka baiklah jasad itu keseluruhannya dan apabila buruk daging itu, maka buruklah jasad itu keseluruhannya. Ketahuilah, bahawasanya ia adalah hati”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
  1. Sentiasa menghadirkan Allah dalam ibadahnya. Dalam erti kata lain, khusyuk dalam beribadah. Memang tidak dapat dinafikan, untuk menghadirkan Allah dalam ibadah kita teramatlah sukar. Kebiasaannya setiap kali kita hendak memulakan ibadah, hal-hal keduniaan pasti akan menerjah ke dalam fikiran. Dalam hal ini, wajib ke atas kita untuk menepis segala hal-hal keduniaan itu daripada fikiran kita dan fokuslah dalam ibadah kita. Andai kata hal-hal keduniaan itu datang lagi, tepislah semula. Perkara ini hendaklah dilakukan berterusan dan berkali-kali sehinggalah kita selesai melaksanakan ibadah. Selebihnya, kita serahkan kepada Allah, moga-moga Allah menerima ibadah kita itu. Inilah yang dinamakan sebagai mujahadah, yakni kita bersungguh-sungguh melawan nafsu dan godaan syaitan. Insya Allah, andai kata kita terus kekal bermujahadah untuk menghadirkan Allah dalam ibadah kita, Allah akan permudahkan dan membimbing kita untuk terus kekal berada di jalan-Nya.
“Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami…”(Al Ankabut 29:69)
Disiplin, Istiqamah dan Istimrar
” Yang terakhir, setiap daripada kita perlu untuk meletakkan satu had yang paling sedikit dalam beribadah agar ibadah yang kita lakukan tidak berkurang,”
Video ceramah yang disampaikan oleh Habib Ali Zainal Abidin, seorang ulama’ masyhur dari Yaman diakhiri dengan beliau memberi sedikit tips dan nasihat tentang bagaimana kita hendak beristiqamah. Kata beliau, kita perlu meletakkan satu had yang paling rendah dalam kita hendak memulakan melakukan satu ibadah. Apabila kita berasa rajin, maka lakukan lebih daripada had tersebut. Yang penting, jangan sesekali kita lakukan ibadah kurang daripada apa yang kita tetapkan. Di sini perlunya untuk kita mendisiplinkan diri kita dan sekali lagi, mujahadah memainkan peranannya di sini.
Begitulah serba sedikit perkongsian tentang bagaimana kita hendak beristiqamah dan beristimrar dalam ibadah yang kita lakukan. Insya Allah, andai kata kita mengamalkan tiga perkara ini, kita akan mampu untuk terus kekal dalam ibadah yang kita lakukan bukan sahaja pada bulan Ramadhan, bahkan di seluruh bulan yang lain.
Menggenggam Ijazah Taqwa
Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, Ramadhan yang mulia ini akan berakhir. Oleh itu, muhasabahlah diri kita, adakah kala ini, ibadah kita sedang meningkat naik ataupun turun mendadak. Andai kata ibadah kita berkurang, maka gunakan kesempatan Ramadhan yang masih berbaki ini untuk melakukan sedikit ibadah yang semampunya dengan kemampuan kita dengan mempraktikkan amalan atau panduan yang telah digariskan oleh ulama’ seperti di atas. Moga-moga, dengan usaha kita itu, kita dapat membawa pulang segulung ijazah bergelar taqwa daripada Universiti Ramadhan sekaligus menyenaraihitamkan nama kita daripada senarai mereka yang rugi setelah berakhirnya bulan yang mulia ini. Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment