Tuesday, 17 September 2013

DU'AT: Ulama' Peneraju Kebangkitan Islam

“Sesiapa yang melalui jalan untuk menuntut ilmu, Allah SWT akan membuka kepadanya salah satu jalan yang menuju ke syurga, para Malaikat merendahkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya orang alim itu, diminta keampunan baginya oleh mereka yang berada di langit dan di bumi, juga oleh ikan di dalam air. Kelebihan orang alim ke atas orang abid (ahli ibadat yang tidak berilmu) seperti kelebihan bulan purnama ke atas segala bintang, dan sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris nabi-nabi, (kerana) mereka tidak meninggalkan (pusaka) dinar dan dirham (harta), sebaliknya mempusakakan ilmu, sesiapa yang (dapat) mengambilnya, dia telah mengambil bahagian yang besar”.
Ulama’ yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah ulama’ yang mempunyai ilmu pengetahuan yang meluas serta mendalam dalam pelbagai cabangan ilmu agama seperti akidah, syariah dan akhlak serta mengamalkan segala ilmu yang mereka ada.
Amanah ilmu yang sedia terpikul di pundak mereka turut mewajibkan para alim ulama' ini berada di medan perjuangan, memimpin ummah mendepani cabaran dan ancaman musuh Allah swt. Ulama' sayugianya menjadi benteng kukuh mempertahankan kesucian Islam dan gerakan perjuangannya agar tidak tembus dan tiris dek serangan pelbagai anasir negatif yang mahu merosakkan jamaah dan meretakkan hubungan sesama pejuangnya.  
Apabila disebut ulama’ itu adalah pewaris para nabi, maka tugas dan peranan ulama’ itu tidak akan jauh daripada apa yang para nabi lakukan. Sesungguhnya, nabi s.a.w bukan sahaja berperanan mengajar di masjid semata-mata, bahkan beaginda juga merupakan pemimpin bagi sebuah negara, pentadbir bagi sebuah kerajaan, panglima bagi sebuah angkatan perang dan penghulu bagi suatu ummah.
Justeru, ulama’ yang sebenar merupakan ulama’ yang sentiasa bergerak dalam masyarakat. Dalam erti kata lain, sifat ulama’ yang diredhai Allah antaranya ialah haraki. Sifat ini mengeluarkan mereka dari kelompok yang mengaku ulama' namun jumud dan beku. Sifat Haraki turut membebaskan para alim ulama' dari kumpulan mereka yang mengaku ulama' namun hidup dan aktiviti rutinnya tidak melandasi Manhaj Islam yang telah diwariskan oleh Nabi saw.
Walau bagaimanapun, ulama’ haraki tidak semestinya bermaksud mereka bergiat aktif dalam jemaah politik tertentu semata-mata. Perbahasan mengenai takrifan ulama’ haraki ini lebih luas. Namun, apa yang perlu ditekankan di sini ialah, seorang ulama’ itu mestilah paling-paling tidak mengambil tahu akan isu-isu politik semasa dlam dan luar negara terutama yang melibatkan kemashalatan ummah.
Seruan DU’AT kepada pelajar IRK
Tidak dapat tidak, mereka yang menjadi penuntut bagi ilmu wahyu perlu menerima hakikat bahawasanya amanah menjadi seorang ulama’ terletak di atas bahu mereka. Hal ini kerana, pelajar yang menuntut ilmu wahyu sedang menelusuri jalan sebagaimana jalan yang dilalui oleh mereka yang bergelar ulama’. Justeru, persiapan untuk membentu diri menjadio ulama’ yang sebenar haruslah dimulai daripada sekarang. Untuk itu, halaqah DU’AT telah sepakat di dalam perbincangan mereka bahawa proses permulaan dalam membentuk diri menjdi seorang ulama’ mestilah berkait dengan tiga aspek ini.
1)    Rohani
2)    Jasmani
3)    Ilmu
Daripada aspek-aspek tersebut, DU’AT telah mencadangkan beeberapa aktiviti yang boleh kita lakukan bersama dalam usaha untuk mempersiapkan diri menjadi ulama’.
DU’AT berharap agar pelajar IRK yang lain dapat bersama menyertai segala aktiviti yang dicadangkan ini. Moga usaha untuk mengukuhkan institusi ulama’ ini diredhai oleh Allah.

DU'AT kedua

Saturday, 7 September 2013

Diskusi Ulul 'Ilmi & Turats (DU'AT): MESIR BUMI 1000 TRIBULASI

Artikel ini adalah berdasarkan isi-isi yang disampaikan oleh panelis DU'AT dalam sidangnya yang pertama.

Mesir merupakan sebuah negara yang di dalamnya tersimpan pelbagai khazanah sejarah yang tidak ternilai harganya apatah lagi apabila sejarah itu terkait dengan perjalanan hidup para anbiya’.  Maka tidak hairanlah apabila Mesir digelar sebagai bumi anbiya’. Ada beberapa orang Rasul yang telah diutuskan oleh Allah ke Mesir. Antaranya Nabi Musa a.s. Nabi Harun a.s, Nabi Yusuf a.s, Nabi Yaakub a.s, dan lain-lain lagi.
“Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat solat, serta dirikanlah solat di dalamnya dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”.
(Yunus:87)

Maka tatkala mereka (Nabi Ya`qub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, Insya Allah kamu berada di dalam aman".
(Yusuf:99)
Ada satu pendapat menarik yang dikemukakan oleh Syeikh Tantawi jauhari di dalam tafsirnya Al Jawahir. Menurut beliau, Nabi Idris a.s juga pernah menetap di Mesir dengan nama panggilannya di Mesir sebagai Osiris. Pendapat ini turut di sokong oleh Syed Qutb di dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran.
Mesir dan Kepentingannya
Dari sudut geografinya, Mesir terletak berdekatan dengan Syria dan Palestin sekaligus menjadikannya sebagai salah sebuah negara yang sangat-sangat ditakuti oleh Israel zionis laknatullah andai kata Islam ditegakkan di atasnya. Hal ini kerana penegakkan Islam di bumi Mesir bakal mengagalkan rancangan mereka untuk menguasai Palestin seluruhnya.
Sejarah telah menunjukkan bahawa untuk menguasai Palestin, Saidina Umar masuk melalui Syria sedang Salahuddin Al Ayyubi pula masuk ke Palestin melalui Mesir.  Justeru, tidak hairanlah apabila kedua-dua negara ini sedang bergolak hasil daripada tangan-tangan rahsia Israel dan Amerika.
Pentingnya Mesir kepada kita umat islam khususnya di Malaysia ialah ia merupakan penentu kepada sejauh mana pendirian kita terhadap kepimpinan Islam.
Sekilas Konflik Mesir
Mesir mencapai kemuncak kebangkitannya tatkala Presiden Morsi, seorang pemimpin berjiwa Islam daripada Ikhwanul Muslimin memenangi pilihan raya Mesir yang paling telus buat pertama kalinya dalam sejarah Mesir. Kemenangan itu merupakan impak kepada penat jerih Ikhwanul Muslimin mengikat kesatuan dan ukhuwwah rakyat Mesir itu sendiri. Akhirnya, hasil daripada itu, lahirlah pejuang-pejuang Islam yang berani untuk menegakkan kebenaran dan membuang jauh kemungkaran.
Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
(Al Baqarah:42)
 Namun, kemenangan itu hanyalah merupakan titik mula bagi segala konflik yang berlaku di Mesir. Selepas memenangi pilihanraya, Morsi cuba untuk menyingkirkan saki baki tali barut Hosni Mubarak yang ada di dalam institusi pemerintahan Mesir. Di dalam ketenteraan, Mohammed Hussein Tantawi digantikan dengan Abdel Fattah As Sisi oleh Morsi. Tindakan Morsi yang dikatakan cuba untuk mengukuhkan kuasanya dan Ikhwanul Muslimin tidak disenangi oleh pembesar-pembesar Mesir (yang kebanyakannya merupakan macai-macai Hosni Mubarak), golongan sekular dan golongan liberal. Mereka lantas menimbulkan isu elektrik dan petrol untuk mewujudkan cubaan menjatuhkan Presiden Morsi.
Dalang kepada komplot menjatuhkan Morsi kian terdedah apabila setelah Morsi digulingkan, Hosni Mubarak pula dibebaskan. Alasannya, bukti telah hilang.
Khilaf Ulama'
Konflik di Mesir semakin panas apabila terdapat beberapa perselisihan faham dalam kalangan ulama’ dalam hal yang berkaitan dengan demonstrasi di Mesir ini. Pendapat pertama adalah pendapat yang menyokong rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera dan menolak demonstrasi yang dilakukan oleh penyokong Morsi. Pendapat ini dikeluarkan oleh Syeikhul Azhar, Syeikh Dr. Ahmad Tayyib. Alasannya beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi semua perkara kerana perjalanan umat dan masa depan negara bukannya milik individu dan kehormatan jiwa manusia ialah perkara yang tidak boleh dilanggar.  Menurut beliau lagi demonstrasi aman dibenarkan oleh syarak selagi mana bebas daripada segala bentuk keganasan dan pertumpahan darah.
Pendapat yang menolak rampasan kuasa ini pula dikeluarkan oleh Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi. Beliau berkata jika Presiden Mursi melakukan sesuatu perkara yang ternyata ianya adalah maksiat kepada rakyat dan negara maka jangan mentaatinya akan tetapi jika beliau masih lagi seorang presiden yang menjalankan hak rakyat dan negara serta membawa ke arah kebaikan maka wajib untuk rakyat Mesir mentaatinya. Pendapat yang menolak rampasan kuasa ini turut disokong oleh beberapa ulama’ besar yang lain.
Sikap Kita
Sikap kita dalam menghadapi khilaf ini ialah kita tidak boleh terus menyalahkan ulama’ yang bertentangan dengan kita. Sesungguhnya, kita meyakini bahawa setiap ulama’ ini mengeluarkan pendapat mereka berdasarkan ilmu yang ada pada mereka. Kita yang masih lagi bermalas-malasan dalam menuntut ilmu ini tidak sewajarnya mencaci maki ulama’-ulama’ ini. Berlapang dadalah dalam menghadapi khilaf ulama’.
Adapun pendirian DU’AT dalam hal ini, kami mengambil pendapat yang disokong oleh ramai ulama’ yang muktabar.
A’la Kulli Hal, ulama’ memainkan peranan yang cukup penting dalam menangani segala permasalahan yang berlaku di dalam dunia Islam umumnya dan isu Mesir khususnya. Sesungguhnya ulama’ itu pewaris para nabi. Dan Ulama’ yang sebenar-benarnya ialah mereka yang mempunyai ilmu, tawadhu’ dan paling dekat dengan Allah.
"Hanya semata-mata yang takut kepada Allah daripada kalangan hambanya ialah Ulama."
(Al Fathir: 28)
" Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan golongan yang berilmu pengetahuan dan Allah amat mengetahui apa yang kamu kerjakan"
(Al Mujadalah : 11)
Antara peranan ulama’ dalam menghadapi isu seperti ini ialah:
   1 )Menegakkan kebenaran
   2 )Menyatukan umat Islam
   3 )Menasihati pemimpin
     
  Islah Diri

Sebagai kesimpulannya, isu mesir ini merupakan suatu isu yang besar yang berlaku dalam dunia Islam. Kita sewajarnya mengambil serius akan hal yang berlaku di Mesir sekarang ini. Sedarlah bahawasanya umat Islam sekarang dicaci, dimaki, dihina dan dikeji. Islam memerlukan mereka yang mampu untuk menaikkan kembali syiarnya. Dan semua itu bermula daripada diri kita. Muhasabah diri kita sejauh mana sumbangan yang kita berikan kepada Islam. Daripada situ, mulalah baiki diri kita ke arah menjadi pemuda harapan Islam yang akan menjunjung tinggi kalimah suci “Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu Rasul Allah.”

Panelis Sidang DU'AT Pertama:
  1. Muhammad Suhaib 'Arifuddin bin Baharum
  2. Amir Atiq bin Zarzaie
  3. Mohd Asfa bin Hafidz

Diskusi Ulul 'Ilmi & Turats (DU'AT) merupakan sebuah badan yang ditubuhkan di bawah Biro Education & Training Islamic Revealed Knowledge & Heritage Society (EnT ISRAK) dengan kerjasama Biro Publication & Promotion (PubPro ISRAK). Badan ini bertindak sebagai platform dakwah untuk pelajar IRK. Dari sudut keahlian, setakat ini ahli DU'AT hanya terdiri daripada pelajar muslimin IRK 2nd Year 2013/2014 sahaja.

http://israkcfsiium.blogspot.com/2013/09/diskusi-ulul-ilmi-turats-duat-mesir.html#more