Tuesday, 7 May 2013

PRU13, Politik dan Saya


6 Mei 2013

“Mujur pagi ni panas…”

Baju yang baru sahaja selesai dibasuh segera saya ampaikan di ampaian yang disediakan oleh pihak Universiti. Cuaca yang panas terik pada pagi itu sedikit sebanyak mengurangkan rasa terkilan saya terhadap keputusan pilihan raya umum yang ke 13 ini. Hajat untuk melihat hijau mewarnai putrajaya tidak kesampaian. Lebih malang lagi, biru pula yang menyelimuti belah utara.

Perasaan terkilan itu telah cuba ditepis oleh saya sedari selepas subuh tadi. Lalu, jadilah saya ini orang yang paling sibuk di bilik. Membasuh baju, mengemas bilik, membaca buku dan sebagainya. Semua ini dilakukan semata-mata ingin melupuskan segala memori berkaitan pilihanraya ini. Namun, usaha saya itu tidak berjaya, bahkan, sepanjang menyibukkan diri saya , sempat pula saya berfikir tentang sebab musabab kegagalan hijau dan pakatannya menerobos putrajaya.

Dari situ timbullah pelbagai spekulasi dalam pemikiran….

Dakwat tak kekal…

Hantu pergi mengundi…

Blackout…

“Astaghfirullah…” segera saya beristighfar tatkala menyedari hakikat sebenar semua spekulasi itu tadi.

Zaman Fitnah

Daripada konspirasi dalam pengiraan undi, dakwat tak kekal, hinggalah warga asing diberi IC untuk mengundi, tidak kira daripada mana asalnya tuduhan ini, sejauh mana kebenarannya, hakikatnya semua ini merupakan fitnah yang berlaku di negara kita. Ya! Sememangnya kita kini hidup dalam satu zaman yang dikenali sebagai zaman fitnah. Fitnah dari sudut berleluasanya penipuan, penindasan dan pencabulan undang-undang.

Justeru, apakah yang kita perlukan untuk menghadapi zaman seperti ini?

Saidina Ali kwj apabila memegang tampuk pimpinan sebagai khalifah, umat Islam ketika itu hidup dalam zaman fitnah, sama seperti kita. Bahkan, zaman fitnah sewaktu pemerintahan Saidina Ali cukup hebat sehingga menatijahkan dua peperangan yang mencalar pahatan sejarah umat Islam iaitu peperangan Jamal dan Peperangan Siffin, peperangan yang menyaksikan para sahabat bertarung sesama mereka.

Dalam salah satu khutbahnya semasa menjadi amirul mukminin, beliau telah memberikan satu jalan keluar yang cukup bermanfaat bagi umat Islam untuk menghadapi zaman fitnah ini. Apa kata saidina Ali?

“Sesungguhnya, kita (dalam menghadapi zaman fitnah ini) memerlukan seorang lelaki yang bertindak, bukan hanya sekadar berkata-kata!”

Politik Matang

Perbuatan mencetuskan spekulasi yang melulu, tuduhan yang asasnya tidak kukuh mahupun sangkaan yang membabi buta merupakan antara contoh sikap seseorang yang hanya pandai berkata-kata. Sikap sebegini perlu dinyahkan dalam diri kita terutamanya pasca pilihanraya ini.

Sepatutnya, sebaik sahaja tamat pilihan raya, semua rakyat tanpa mengira penyokong mana-mana parti harus terus bekerja membina negara dengan polisi dan prinsip yang telah dibuat oleh parti yang telah diamanahkan untuk membentuk kerajaan.

Dalam erti kata yang lebih mudah, setiap orang, tanpa mengira bidang pekerjaan, peringkat umur, mahupun jantina  perlu mula menfokuskan peranan mereka mengikut kedudukan masing-masing dalam usaha untuk membina negara ke arah yang lebih baik.

Bukannya sibuk dengan politik yang kurang matang, yakni asyik dengan perdebatan dan pertelingkahan parti sehingga mengabaikan keutamaan dalam membina negara.

Hal ini secara tidak lansung hanya akan menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Sungguhpun begitu, bukanlah bermakna kita perlu meninggalkan terus perbincangan hal-ehwal politik dalam kehidupan kita. Haruslah dibezakan diantara perbincangan dan perdebatan. Perbincangan didasari dengan prinsip-prinsip toleransi dan keterbukaan sedang perdebatan pula BIASANYA dikuasai oleh emosi dan sifat ego.

Mudahnya, kita perlu mula berpolitik secara matang. Berpolitik secara matang menuntut kita menimbang dan menilai sesuatu secara professional berdasarkan analisis ilmu, bukannya menurut sentimen kepartian yang berteraskan hawa nafsu. Hentikan berbicara tentang isu yang tidak berasaskan bukti yang kukuh, yang hanya berdasarkan kebarangkalian yang tidak pasti apatah lagi jika isu itu kita sendiri tidak mengetahui pokok pangkalnya. Sebaliknya, Mulalah bergerak dalam membangunkan negara mengikut acuan Islam sekadar yang kita mampu.

Dalam konteks golongan muda pula, kita seharusnya menyedari bahawa kita telah dikurniakan oleh Allah dengan semangat yang cukup tinggi. Justeru, semangat itu mesti diiringkan dengan tindakan yang rasional. Bukannya tindakan yang mengikut hawa nafsu ataupun tindakan yang terburu-buru.

Peranan Pemuda

Buku teks bahasa arab yang berwarna kuning itu ditutup oleh saya setelah hampir satu jam menelaah. Jam menunjukkan pukul 3.15 petang. Saya melontarkan pandangan ke luar tingkap kelas e115. Langit yang paginya cerah dipancar sinar mentari mula mendung dilindung awan hitam.

“Hari dah nak hujan ni…baju tak angkat lagi…” pandangan saya kembali dialihkan ke arah buku teks bahasa arab yang berwarna kuning itu. Lalu buku itu dimasukkan ke dalam beg bersama-sama peralatan belajar yang lain. Kala itu, terdetik di hati saya bahawa ada tanggungjawab besar yang perlu saya laksanakan. Tanggungjawab yang lebih besar daripada sibuk bersembang konspirasi politik yang tidak berkesudahan. Iaitu tanggungjawab untuk menuntut ilmu.

Teringat pula pesanan Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dalam salah satu siri ceramahnya…

“Pemuda mesti memahami bahawa masa depan mereka masih lagi panjang. Semangat mereka yang masih kuat, cita-cita mereka yang berkobar-kobar, mesti diterjemahkan dengan ilmu yang mantap…”

Maka itulah peranan utama golongan muda pada ketika ini. Menggembleng seluruh tenaga mereka dalam meraih ilmu yang mendalam. Saya menginsafi diri yang terkadang leka dibuai kerancakkan berbicara mengenai perihal politik negara sehingga terabai masa untuk menuntut ilmu.

Terasa seakan kualiti “lelaki yang bertindak” yang disebut oleh Saidina Ali tidak ada pada diri.

Keluar daripada kelas, saya menikmati angin semula jadi yang bertiup lembut. Terasa aman dan damai melihat keharmonian negara yang tercinta ini. Namun, alangkah baiknya jika keharmonian dan keamanan yang dikurniakan Allah kepada negara ini digunakan dengan sebaiknya untuk meninggikan syariat Allah di atas muka bumi ini.

“Sesuatu perlu dilakukan…”saya berbisik pada diri sendiri.

Bertindak secara Profesional

Menuntut ilmu merupakan keutamaan pertama bagi golongan muda. Namun itu tidak menafikan peranan mereka dalam kancah politik. Golongan muda juga berhak untuk berjuang dalam medan politik, asal saja ia tidak mengganggu pembelajaran mereka dan dilakukan secara professional dan rasional, berteraskan prinsip politik matang.

Menyedari hal itu, saya segera menuju ke bangunan LY UIA (di situ biasanya internet laju). Laptop kesayangan dibuka, laman internet segera dilayari. Sasarannya..

MANIFESTO BN 2013.

Daripada sekian banyak janji-janji yang ditaburkan oleh mereka, saya pilih daripada senarai itu, janji-janji yang berkaitan dengan Islam dan golongan remaja. Seterusnya, saya buat senarai baru yang terdiri daripada janji-janji yang dipilih oleh saya sebentar tadi. Hasilnya:

AKUJANJI BN-MANIFESTO PRU13
BIL.
JANJI
TUNAI
TARIKH
1.
Mendukung Islam sebagai agama Persekutuan serta mempromosikan syiar dan syariat Islam mengikut prinsip Maqasid Syariah.


2.
Menyediakan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Pondok


3.
Memperuntukkan tabung, latihan dan insentif kepada belia yang mahu melakukan usaha niaga komersial.


4.
Menyediakan ruang komersial di dalam kompleks beli-belah selama sehari pada setiap bulan untuk golongan belia mempamerkan dan memasarkan produk kreatif dan perkhidmatan mereka.


5.
Mewujudkan inkubator bagi memupuk kualiti kepimpinan dan kreativiti


6.
Mewujudkan lebih banyak lokasi WiFi percuma terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar.


7.
Melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa, dan mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat.


8.
Mengkaji semula undang-undang berkaitan hiburan untuk promosi seni persembahan dan kebudayaan


9.
Mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat


10.
Menyediakan jalur lebar WiFi secara percuma dan terjamin di semua kampus pengajian tinggi awam.


11.
Baucar Buku 1Malaysia dinaikkan sehingga RM300








Wujudlah satu ‘checklist’ yang bertujuan untuk menilai sejauh mana komitmen dan keikhlasan mereka dalam menunaikan janji mereka terhadap kita. In syaa Allah, ‘checklist’ itu akan ditanda oleh saya andai kata mereka telahpun menunaikan janji mereka sepanjang 5 tahun mereka memerintah. Andai kata mereka belum tunaikan sehinggalah pilihan raya akan datang, itu akan dijadikan hujah untuk menunjukkan betapa mereka ini bukanlah pemerintah yang terbaik untuk mentadbir negara ini.

Jam menunjukkan pukul 4.30 petang. Hujan lebat sudah pun turun sedari setengah jam tadi. Checklist itu saya tatap sekali lagi. Sedikit sebanyak, timbul rasa puas dalam diri, menghilangkan rasa terkilan pagi tadi.

Ini adalah usaha kecil saya sebagai pemula untuk menerapkan sikap berpolitik secara matang dalam diri seterusnya menjadi lelaki yang bertindak, bukan sekadar berkata-kata sebagaimana yang diidamkan oleh Saidina Ali kwj.

In syaa Allah, dengan berpolitik secara matang, tanggungjawab kita yang lain tidak akan terabai.

Hujan terus turun, dan pada ketika itulah saya teringat akan sesuatu yang sangat penting…

“Ya Allah, baju kat ampaian tak angkat lagi!”

Alahai, politik…politik…



0 comments:

Post a Comment