Saturday, 8 August 2015

Corat-coret Agamawan: Satu Pandangan



Entah kenapa,  semenjak dua menjak ini,  banyak kisah yang saya baca di internet yang menyentuh tentang perihal agamawan di negara ini. Daripada kisah agamawan yang berpolitik kepada agamawan yang berautoriti hinggalah kepada cerita mengenai agamawan yang punya populariti.
 Tatkala meneliti isu yang berlaku dalam kalangan agamawan tersebut, saya tidak dapat mengelak untuk berasa simpati dengan apa yang berlaku terhadap golongan ini apatah lagi sebagai seorang pelajar yang mengambil jurusan agama, saya mungkin bakal tergolong dalam kelompok ini satu hari nanti.

Tentang Agamawan

 Agamawan merujuk kepada mereka yang mempunyai latar belakang pengajian Islam dan bergiat dalam lingkungan itu juga samada sebagai pengajar,  pendakwah mahupun pemikir. Di Malaysia, agamawan turut juga dikenali sebagai ulama', ustaz ustazah, pendakwah dan lain-lain.
 Di dalam Islam,  golongan agamawan diangkat pada kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat. Mereka dijadikan sebagai tempat rujukan,  mendapatkan khidmat nasihat dan pemimpin masyarakat.  Dalam sejarah bangsa Melayu juga kita akan dapati bahawa golongan ini bukan sahaja dihormati dalam kalangan masyarakat biasa bahkan juga bangsawan (golongan istana).
 Suatu masa dahulu golongan agamawan dipandang sebagai mereka yang bijak. Nasihat mereka sentiasa dihormati. Kata-kata mereka sentiasa dinanti. Pandangan mereka sentiasa diamati.
 Namun kini,  segalanya seakan terbalik.
 Hari ini,  golongan agamawan sering diperkecil, diperlekeh dan dipersenda. Justeru,  hal ini buat saya tertanya; “Siapa patut dipersalahkan?  Masyarakat yang melayan agamawan sedemikian rupa ataupun agamawan sendiri yang tenggelam dengan status mereka sebagai agamawan?"
 Saya cuba amati setiap isu yang berlaku bagi menjawab persoalan tersebut.

Agamawan dan Politik: Isu Perpecahan PAS

 Tidak dapat tidak, Pas tidak boleh menafikan bahawa perpecahan yang berlaku dalam kalangan ahlinya berpunca daripada pertelingkahan diantara golongan agamawan (lebih dikenali sebagai ulama' dalam PAS)  dan golongan progresif (turut dikenali sebagai golongan profesional) .
 Pertelingkahan yang berlaku sejak dahulu lagi menjadi runcing apabila golongan ulama' menang besar dalam muktamar PAS baru-baru ini dengan menyingkir terus secara total golongan progresif daripada barisan kepimpinan PAS.
 Hal ini menyebabkan berlakunya penubuhan Gerakan Harapan Baharu (GHB)  yang dikepalai oleh golongan progresif dalam PAS.
 Menurut beberapa orrang ahli GHB,  selain menganggap PAS sudah tidak relevan, mereka menubuhkan GHB atas sebab terkilan dengn tindakan golongan agamawan yang dikatakan menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan mereka dan menikam mereka dari belakang sewaktu mereka membarisi pimpinan PAS.
 Secara peribadi,  saya menganggap penubuhan GHB merupakan satu tindakan yang salah dan mampu membawa kesan yang buruk dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini khususnya.
 Namun,  tidak dapat tidak,  saya turut terkilan dengan sikap segelintir golongan agamawan di dalam PAS dalam menangani isu ini,  baik sebelum berlakunya perpecahan,  mahupun selepas.
 Bermula daripada penglabelan-penglabelan yang tidak sepatutnya seperti jebon,  munafik haraki dan lain-lain hinggalah kepada menyerang peribadi dan membuka aib seseorang.
 Sebagai sebuah jemaah islam yang bergiat dalam politik,  PAS seharusnya mengambil pandangan masyarakat biasa yang sentiasa memandang PAS sebagai harapan Islam dalam politik negara.
 Dan saya yakin,  kebanyakan masyarakat memandang sikap yang dipamerkan segelintir golongan agamawan dalam PAS itu merupakan satu sikap yang tidak beretika dan jauh daripada akhlak islamiyyah.
 Sikap yang dipamerkan segelintir golongan agamawan ini perlu diubah kerana ia bukan sahaja memburukkan nama PAS sebagai sebuah jemaah Islam,  bahkan juga nama golongan agamawan, baik yang terlibat dalam politik mahupun tidak.
 Sekiranya tidak mampu diubah,  setidaknya sikap sebegitu janganlah diikuti oleh golongan muda dalam kalangan ahli PAS yang bakal menggantikan pimpinan sedia ada kelak.
 Apabila saya mengatakan segelintir,  ini menunjukkan bahawa hanya sedikit sahaja dalam kalangan agamawan yang bersikap sedemikian rupa sedang sebilangan besar yang lain kekal menjalankan amanah semampu mereka di atas panduan Al Quran dan As Sunnah.
 Golongan agamawan inilah yang memberikan saya keyakinan untuk terus komited menyokong perjuangan PAS walau di sebalik apa yang berlaku dalam jemaah ini.
 Saya tetap menyimpan harapan agar PAS dapat menjadi peneraju kesatuan umat Islam di negara ini.

Autoriti Mufti: Sikap Kita

 Baru-baru ini mufti wilayah persekutuan, Sahibus Samahah Dr Zulkifli Al Bakri telah mengeluarkan fatwa beliau tentang rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape.
 Penjelasan beliau dalam fatwa berkenaan vape ini disertakan dengan fakta-fakta terperinci dari sudut sains di samping huraian berdasarkan hukum pandang agama. Dalam fatwa beliau,  Dr Zulkifli Al Bakri menyimpulkan bahawa hukum vape sama seperti hukum rokok iaitu haram.
 Dr Zulkifli al Bakri merupakan antara mufti yang agak terkenal di Malaysia. Selain mufti Perlis sahibus samahah Dr Mohd Asri, fatwa Dr Zulkifli Al Bakri sentiasa dinanti terhadap sesuatu isu. Jika Dr Asri terkenal sebagai mufti yang berani dan lantang dalam menjalankan amanahnya,  Dr Zulkifli Al Bakri pula dikenali sebagai mufti yang sangat sederhana dan penuh hikmah dalam kata-katanya. Sepanjang beliau menjadi mufti, beliau tidak pernah mengeluarkn fatwa dengan tergesa-gesa sehinggalah beliau mendapatkan maklumat yang cukup untuk memahami sesuatu isu. Hali ini menunjukkan betapa tawaduknya beliau sebagai seorang yang alim dan amanahnya beliau sebagai seorang mufti.
 Dengan akhlak beliau yang sebegitu,  saya amat terkejut dengan respon beberapa orang terhadap fatwa beliau berkenaan vape.
 Penolakan mereka secara terang-terangan di laman sosial terhadap  fatwa ini secara tidak lansung akan menjatuhkan kredibiliti institusi mufti sebagai badan berautoriti dalam hal ehwal agama di negara ini dan dengan jelas menunjukkan betapa mereka tidak menghormati badan berautoriti tersebut .
 Cukuplah fatwa mufti wilayah persekutuan ini diperkecilkan oleh golongan bukan Islam (SINI). Sebagai seorang muslim,  seharusnya kita menjaga dan mempertahankan nama baik syariat Islam dengan menghormati pandangan ulama' yang berautoriti. Adapun hendak mengikuti pandangan mufti,  terpulang pada masing-masing atas kapasiti dosa pahala ditanggung sendiri.
 Peristiwa ini mengingatkan saya terhadap isu fatwa negeri Sekangor terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) yang memutuskan bahawa SIS menyimpang daripada ajaran Islam.
Rentetan daripada fatwa tersebut,  beberapa orang pemimpin politik yang beragama Islam telah mengadakan satu sidang media bagi menunjukkan ketidaksetujuan mereka terhadap fatwa tersebut.
 Tindakan mereka itu hanya menjatuhkan kredibiliti majlis fatwa negeri Selangor.
 Kesimpulannya,  saya meyakini bahawa nama baik institusi Islam perlu dijaga dan kredibilitinya perlu sentiasa dipertahankan.
 Sekiranya terdapat sebarang fatwa atau hukum yang dikeluarkan intitusi-institusi tersebut,  fatwa dan hukum tersebut seeloknya dihormati walaupun bercanggah dengan pendapat sendiri dengan cara tidak memperkecilkan fatwa-fatwa tersebut secara terbuka baik di laman sosial mahupun di media massa. Sebaiknya berjumpalah secara tertutup dengan mana-mana wakil institusi tersebut untuk berbincang mahupun berbahas bagi mendapatkan penerangan yang lebih jelas. Sekiranya tidak mampu berbuat demikian,  seeloknya kita berdiam dan mengamalkan apa yang kita yakini secara peribadi atas kesedaran bahawa kita menanggung dosa dan pahala sendiri.

Ustaz/ah Selebriti: Antara Kesalahan Mereka dan Kesalahan Kita
 Baru-baru ini viral di laman sosial tentang kenyataan seorang ustazah yang terkenal mengenai perihal susu lembu. Kenyataan beliau mengundang kemarahan beberapa orang di laman sosial sehinggakan menyebabkan ustazah tersebut diperlekeh dan dipersenda. Keilmuan ustazah tersebut turut diperkecilkan.
 Saya pertama mengenali ustazah tersebut sebagai seorang penulis novel. Seterusnya,  saya mengikuti juga tulisan beliau dalam sebuah majalah motivasi agama yang terkenal yang banyak menyentuh mengenai perihal golongan remaja dan belia. Daripada penulisan beliau,  saya mengagumi keilmuan beliau dalam bidang agama. Saya juga pernah ternampak beliau dalam satu majlis ilmu. Menakjubkan. dalam majlis ilmu tersebut beliau bukan hadir sebagai penyampai,  tetapi hadir sebagai pendengar.
 Ustazah ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat terutama sekali golongan remaja dan belia sehingga beliau digelar sebagai ustazah selebriti.
 Malangnya,  atas kapasiti beliau sebagai ustazah selebriti itulah yang mungkin menyebabkan kesalahan beliau dalam fakta sains tersebut diviralkan.
 Lantas,  apa yang berlaku pada ustazah tersebut mungkin boleh dijadikan sebagai pengajaran buat ustaz ustazah lain yang turut mendapat gelaran ustaz/ah selebriti untuk lebih berhati-hati dan membuat persediaan dalam menyampaikan sesuatu kerana status mereka itu lebih membuatkan setiap kenyataan mereka mampu mengundang kontrovesi.
 Sungguhpun begitu,  dalam kes ustazah ini,  saya memandangnya daripada sudut berbeza.
 Saya melihat ustazah ini sebagai satu bukti bahawa beliau, sama seperti kita,  adalah manusia yang pasti melakukan kesilapan. Lantas,  apa yang dinyatakan oleh ustazah tersebut saya anggap adalah satu kesilapan biasa seorang manusia yang tidak disengajakan.
 Saya percaya,  kesilapan yang tidak disengajakan itu insyaa Allah akan dimaafkan oleh Allah.
 Kita berhak untuk menegur dan menasihati mana-mana pendakwah atau ustaz/ah yang melakukan kesilapan. Namun,  teguran kita itu perlu menepati dengan akhlak dan adab Islam.
 Dan disinilah letaknya kesalahan kita.
 Ramai dalam kalangan kita mengviralkan kesalahan ustazah tersebut dengan disertai tulisan yang penuh dengan sindiran dan lekehan dan menganggap itu satu teguran terhadap ustazah tersebut.
 Begitu juga tukang-tukang komen di laman sosial yang memarakkan lagi isu.
 Bagi saya, sikap ini tidak menepati akhlak dan adab seorang muslim.
 Dan saya takut sikap ini mendekatkan kita kepada dosa.
 Saya lebih gemar untuk seseorang membuat teguran secara peribadi dan tertutup terhadap mana-mana agamawan yang melakukan kesilapan. Namun,  sekiranya ingin menegur secara terbuka sebagai iktibar buat masyarakat,  seeloknya dilakukan sehikmah dan sehemah mungkin dengan tidak mengaibkan,  merendahkan,  mahupun memperkecilkan sesiapapun.
 Bagi saya,  itulah yang terbaik.

Amanah Pelajar Agama
 Melihat kepada setiap isu yang berlaku terhadap golongan agamawan meembuatkan saya terpaksa menghela nafas dalam-dalam kerana mengenangkan betapa golongan agamawan ini  memikul satu tanggungjawab yang besar terhadap Islam. Di pundak mereka terdapat satu amanah untuk menjaga nama baik Islam. Inilah cabaran mereka. Setiap tingkah laku mereka akan diperhatikan bagi dijadikan hujah baik dalam mempertahankan Islam mahupun sebaliknya. Justeru,  hanya dengan persiapan yang betul-betul serius perlu dilakukan oleh golongan agamawan agar amanah mereka dalam meninggikan Islam dapat dilaksanakan.
 Mengimbau kembali sepanjang tiga tahun saya memfokuskan diri dalam pengajian Islam, saya berasa amat berdosa kerana seakan tiga tahun itu disiakan dengan persiapan yang tidak serius.
Apa yang berlaku pada hari ini diharap dapat dijadikan pengajaran buat mereka yang berada di dalam jurusan agama untuk lebih berusaha dan serius dalam mendalami ilmu Islam. Moga dengan masa yang berbaki ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Wallahua'alam.

0 comments:

Post a Comment