Thursday, 12 December 2013

Keperluan Umat Manusia Terhadap Islam



Dikisahkan bahawa sebelum diturunkan nabi Nuh a.s., umat manusia pada ketika itu hidup di atas jalan yang benar sehinggalah wafatnya lima orang soleh dalam kalangan mereka yang amat mereka cintai. Lima orang soleh ini sebagaimana disebut di dalam Al Quran ialah Wadd, Suwa', Yaghuth, Ya'uq dan Nasr. Kewafatan mereka telah menyebabkan kesedihan yang teramat dalam kalangan umat manusia. Saat itu, syaitan mula mengambil peluang untuk menyesatkan umat manusia dengan menggoda mereka untuk membuat satu tugu khas buat kelima-lima orang soleh tersebut bagi memperingati jasa mereka terhadap umat manusia.

Maka, terbinalah lima patung pertama di atas muka bumi ini.
Apabila waktu semakin berlalu, patung yang pada asalnya hanyalah berfungsi sekadar menghargai dan memperingati kehebatan orang-orang soleh itu mula berubah menjadi berhala sembahan umat manusia.
Pada ketika inilah umat manusia mula terpesong dari jalan Allah.

Dan mereka berkata: "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa', yaghuts, ya'uq dan nasr".
(Nuh: 23)

Lalu, diutuskan nabi Nuh a.s. untuk mengembalikan mereka semula ke jalan Allah.

Manusia dan Akal

Inilah hakikat sebenar manusia. Sesungguhnya Allah swt telah mengurniakan kepada manusia satu kurniaan yang cukup besar iaitu akal. Dengan akal, manusia dapat berfikir, belajar dan mengkaji. Dengan akal jugalah, manusia cuba untuk memahami alam ini, kedudukannya dan matlamatnya bagi mewujudkan suatu sistem yang sempurna untuk mereka hidup di atas muka bumi ini.


Namun, akal sahaja tidak mencukupi. Akal itu perlu dipandu. Dan panduan itu mesti datang daripada Pencipta kepada akal itu sendiri.

Bagi memandu akal ke arah Nya, maka Allah swt menurunkan pula para anbiya' dan rusul bagi mewakili Nya membimbing akal manusia. Amanah yang Allah pertanggungjawabkan ini telah dilaksanakan dengan sebaiknya oleh para rusul baik dari zaman nabi Adam a.s. sehinggalah kepada rasul yang terakhir, Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan Allah yang terakhir, dibangkitkan untuk mengingatkan kembali ajaran Islam yang telah lama dilupakan oleh masyarakat pada ketika itu.

Ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w. itu kemudiannya disempurnakan oleh Allah swt sebelum kewafatan baginda Rasulullah s.a.w.

Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.” 
(Al-Maidah: 3)

Setelah kewafatan baginda Rasulullah s.a.w., ajarn Islam terus dipelihara oleh Allah swt dengan dipelihara sumbernya yang utama, Al Quran dan As Sunnah.

Kini, dengan ajaran Islam yang berdasarkan Al Quran dan As Sunnah inilah, akal manusia akan terus dipandu ke arah jalan Allah swt.

Oleh itu, tanpa Islam, umat manusia pasti akan sesat kembali sebagaimana sesatnya umat manusia suatu masa dahulu.

Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, yaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkann itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.
(Al Baqarah: 216)


Rujukan:
  1. Al Quran
  2. Abdul Hadi Awang. (2006). Muqaddimah Aqidah Muslimin. Cetakan kelapan. Kuala Lumpur, Malaysia: Sarjana Media.
  3. http://kisahmuslim.com/kisah-nabi-nuh-alaihissalam/