Semuanya bermula di sebuah taman tema air di Shah Alam.
Sejurus selepas habis sahaja peperiksaan akhir semester, kami terus bergerak ke sana.
Dan ia berlaku tanpa dirancang. Hanya sekadar suka-suka, kami merakam telatah kami di taman tema air tersebut.
Rakaman dikompilasikan dalam bentuk video.
Dan video itu benar-benar menarik perhatian kami.
Maka bermulalah satu projek kecil ini.
Video Da'wah (Vida'wah)
Vida'wah.
Video berunsur da'wah.
Projek video ini mungkin tidak segah projek-projek video yang sudah menempa nama di laman-laman sosial.
Namun, bagi saya, ia sudah cukup untuk membawa mesej; dakwah itu bukan sekadar memberi ceramah atau kuliah.
Melalui video pertama kami itulah, kami berseuju untuk meneruskan usaha membikin video dan diketengahkan dalam bentuk dakwah dan nasihat.
Pada asalnya, sahabat saya, Ikhsan, menamakan kumpulan ini dengan nama Pah Som Studio. Kemudian, nama ini ditukar kepada Vida'wah.
Vida'wah adalah merupakan satu usaha kecil kami untuk mengetengahkan pelajar jurusan agama khususnya dan pelajar universiti umumnya di dalam arena dakwah di samping menyampaikan mesej dakwah itu sendiri.
Kami masih berada di peringkat permulaan, tetapi insyaaAllah, sedikit demi sedikit, kami akan sentiasa berusaha untuk menambahbaik penyampaian kami untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.
Klise Dakwah
“Aku sejujurnya tak berapa setuju dengan klise program realiti Islamik yang diketengahkan siaran-siaran televisyen di Malaysia ni..."
Saya mengeluh di sebelah sahabat saya yang sedang asyik menonton sebuah rancangan dakwah di televisyen.
“Lorh...awat gitu pulak?"
“Takde, program-program macam ni memang ade kebaikkannye. Tu memang tak dapat dinafikan lagi. Tapi, kalau dah bertahun-tahun bawak konsep yang sama, walaupun setelah dijenamakan semula...aku rasa tak berapa menarik. Dan bagi aku, benda ni boleh bawak satu persepsi yang streotaip terhadap penyampaian dakwah, "
“Apa yang hang maksudkan dengan konsep yang sama? "
“Peserta berdiri di atas pentas, dan berceramah. Setiap program realiti islamik yang diwujudkan, semuanya bawa konsep ni. Tak kirala siaran televisyen manapun. Semuanya sama. Aku risau benda ni akan bentuk persepsi masyarakat yang dakwah ini hanya berbentuk gitu je,"
“Yep, aku agak setuju dengan hang. Dan lagi satu, bagi aku, konsep penyampaian dakwah macam tu, tak cukup kreatif. Kalau kreatif sekalipun, masih belum inovatif. Dua benda ni la antara dua elemen penting untuk menjadi daya penarik terhadap dakwah yang cuba disampaikan, "
Dakwah Kreatif, Dakwah Inovatif
Era ini ialah era teknologi. Justeru, menjadi satu keperluan terhadap para pendakwah untuk memanipulasikan kecanggihan teknologi bagi mengekalkan kerelevanan dakwah yang cuba disampaikan.
Dalam pertemuan saya dan tim TRILOG dengan ANIMO, sebuah syarikat aplikasi komik di Malaysia, saya telah diperkenalkan dengan teknologi 'motion comic'. Ideanya sangat menarik. Komik dengan efek yang bergerak, menambahkan lagi penghayatan di dalam membaca komik. Teknologi ini masih belum sampai di Malaysia, namun andai kata suatu hari nanti ia berjaya dibawa ke sini, saya berharap agar biarlah komik berunsur dakwah dan tarbiah yang menjadi pelopornya.
Membelek-belek pula laman muka buku, saya terhenti pada status guru saya, ustaz Umar. Beliau memperkenalkan satu teknologi baru dalam majalah keluaran Telaga Biru, iaitu teknologi Augmented Reality (AR) . Cukup menakjubkan. Melalui teknologi ini, dunia maya mampu dibawa ke alam realiti.
Kedua-dua teknologi ini adalah antara beberapa contoh kecanggihan teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh para pendakwah di dalam menyampaikan dakwah mereka. Sungguh, ini merupakan satu cabaran para pendakwah dalam memastikan dakwah mereka itu benar-benar berkesan dan mampu menarik sasaran dakwah terhadap Islam. Dan antara cara bagi menyahut cabaran itu adalah dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang tersedia.
Ini merupakan antara cara bagi memastikan dakwah kita sentiasa kreatif dan inovatif.
Kesimpulan
Dalam melakukan satu gerak kerja, kita dituntut untuk melakukannya sehabis baik dan sepenuh usaha. Apatah lagi jika gerak kerja itu merupakan satu gerak kerja dakwah. Firman Allah swt:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah serta petunjuk
(An Nahl: 125)
Sungguhpun begitu, harus diingat bahawa akhirnya yang memegang kuasa untuk memberi hidayah itu hanyalah Allah swt. Semua ini berlaku atas keizinannya.
Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak dapat memberikan hidayah kepada siapa yang engkau suka, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki
(Al Qasas: 56)
Oleh itu, di samping mempergiatkan usaha menggerakkan dan menambahbaik dakwah kita, hubungan kita dengan Dia yang memberi hidayah harus sentiasa dijaga. Itulah yang lebih utama.
Vida'wah masih muda dalam arena dakwah ini. Namun, saya kekal optimis bahawa Vida'wah mampu terus kehadapan dalam penyampaian dakwah.
Moga usaha dakwah ini diterima oleh Allah swt.
Credit to:
Ikhsan
&
Semua pelajar IRK