Saturday, 10 August 2013

Jom Puasa Setahun!

Hari Raya Fitri sudah pun berlalu. Namun, sudah menjadi adat bagi masyarakat di Malaysia untuk terus menyambung hari raya ini sehingga berhari-hari bahkan sampai ke sebulan Syawwal. Bagi saya perkara ini bukanlah menjadi satu masalah yang besar kerana cara sambutan hari raya oleh masyarakat di Malaysia ini sedikit sebanyak ada nilai murninya yang dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat Islam khususnya golongan remaja. Contohnya, amalan ziarah-manziarahi dan rumah terbuka dapat mengeratkan silaturrahim dalam kalangan keluarga. Golongan muda dapat menggunakan peluang ini untuk mengenali sanak saudaranya yang tinggal berjauhan. Ini merupakan satu peluang yang jarang diperoleh pada bulan-bulan biasa. Namun begitu, disebalik keseronokan kita meraikan adat ini, tidak haruslah pula kita merlupakan sunnah-sunnah dan amalan yang Rasulullah s.a.w lakukan semasa bulan Syawwal. Antaranya ialah Puasa Enam
Dalil-Dalil Puasa Enam
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Mafhumnya:Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, maka baginya pahala seumpama mengerjakan puasa sepanjang tahun[4].
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, at Tirmidzi, an Nasaa-i dan Ibnu Majah)

مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ، مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشَرَ أَمْثَالُهَا

Mafhumnya: Barang siapa berpuasa enam hari selepas Eidul Fitri (Hari Raya Puasa), adalah (seolah-olah mencukupkan puasa) sepenuh tahun. Barang siapa yang melakukan satu kebajikan, maka baginya (digandakan) sepuluh kebajikan sepertinya[5].

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Imam Nasaa-i dengan lafazh : 

جَعَلَ اللهُ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا فَشَهْرٌ بِعَشْرَةِ أَشْهُرٍ وَصِيَامُ سِتَّةِ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ تَمَامُ السَّنَةَ

"Allah menjadikan (ganjaran) kebaikan itu sepuluh kali lipat, satu bulan sama dengan sepuluh bulan; dan puasa enam hari setelah hari raya ‘Idul Fithri merupakan penyempurna satu tahun".
Kaifiat Puasa Enam
Menurut pendapat mazhab syafi'e, afdhalnya dilakukan puasa enam itu berturut-turut selepas hari raya. (Sayid Sabiq, Fiq As Sunnah). Ini berdasarkan kepada hadis baginda S.A.W:
"Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, maka baginya pahala seumpama mengerjakan puasa sepanjang tahun"
Perkataan "...kemudian mengikutinya..." dijadikan sandaran kepada afdalnya ditunaikan puasa enam sejurus selepas Ramadhan (yakni seawal mungkin,dalam hal ini selepas hari raya) secara berturutan. Namun, menurut Imam an Nawawi, fadhilat puasa enam itu tetap diperoleh bagi mereka yang berpuasa enam sekalipun bukan berturut-turut selepas hari raya.
“Afdalnya dilakukan puasa enam hari berturut selepas hari raya. Jika dilewatkan sehingga akhir Syawwal tetap mendapat fadilat ‘disusuli enam hari’ kerana ia menyusuli enam hari dalam bulan Syawwal” (Syarh Sahih Muslim, 8/238).
Puasa Qadha dulu atau Puasa Enam dulu?
Di sini  dibawakan dua pendapat:
1) Pendapat yang membenarkan didahulukan puasa enam. Pendapat ini disandarkan kepada hadis daripada saidatina Aishah
"Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)
2) Pendapat yang mengatakan perlu didahulukan puasa qadha' sebelum puasa enam. Hujahnya
   i) hadis Rasulullah s.a.w: "...dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaku dengan apa juapun, maka yang lebih aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardunya..."( riwayat Bukhari)
   ii) hadis Rasulullah s.a.w
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Perkataan 'صَامَ'' adalah fiil madhi yang membawa maksud telah berpuasa. Maka perlu menghabiskan puasa Ramadhan dahulu sebelum berpuasa enam.
Bolehkan Gabung Puasa Qadha dan Enam?
Sebahagian Ulama mengatakan boleh digabungkan. Antaranya ialah Imam Syamsuddin Ramli dan pendapat ini turut dipegang oleh kebanyakkan ulama' besar di dunia Melayu. Antara ulama' Melayu yang mengambil pendapat Imam Syamsuddin ini ialah Syaikh Muhammad Arsyad Al Banjari dalam kitabnya sabilul Muhtadin, Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris Al Fathoni (Bughyah at Tulab li Murid Ma'rifah al Ahkam bi as Sawab), dan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al Fathoni (Al Bahr al Wafi wan Nahr as Syafi'e). Dalam hal ini, disebutkan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.
1) Sekiranya seseorang itu berniat puasa qadha' sahaja atau disekalikan dengan puasa enam, maka dia akan mendapat pahala puasa enam juga. Hanya pahala puasa enam itu tidak sempurna. 
2) Sekiranya dia berniat berpuasa enam selepas puasa qadha, maka dia tidak akan mendapat pahala puasa enam sehinggalah dia melaksanakan puasa enam tersebut.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan tidak boleh digabungkan puasa qadha' dan puasa enam. Antara hujah yang digunakan:
1) Tidak ada dalil spesifik yang membolehkan gabung puasa dilakukan.
2) Dikhuatiri akan membuka ruang bermudah-mudah dalam agama. Contohnya, andai kata gabung puasa dibenarkan, maka akan muncul pula golongan yang ingin menggabungkan solat seperti solat Subuh dengan solat Istikharah dengan diqiaskan kepada gabung puasa qadha' dan enam.
3) Amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi dalam mengangkat tuntutan kewajipannya. Menggabungkan amalan wajib dengan amalan sunat akan mengganggu tumpuan tersebut sekaligus mengurangkan kesempurnaannya. Ini menurut pendapat Prof. Dr. Syeikh Abd Malik as Sa'dy dan Prof. Dr. Mohammad 'Uqlah el Ibrahim.
4) Hadis riwayat saidatina Aisyah "Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" Saidatina Aiyah melewatkan puasa qadha' untuk puasa enam memberi petanda bahawa tidak ada penggabungan puasa pada zaman sahabat.
5) Perlu menghabiskan dahulu puasa Ramadhan sebelum berpuasa enam berdasarkan hadis riwayat Abu Ayub al Ansari dan seumpamanya.
Menurut fatwa mufti Perlis pula, pendapat boleh digabungkan puasa tidak disandarkan kepada mana-mana nas Al Quran dan as Sunnah.
Berdasarkan perbandingan hujah daripada kedua-dua pendapat, pendapat tidak boleh gabung puasa kelihatan lebih kuat hujahnya.
Khulasotul qaul
Amalan berpuasa enam ini merupakan sunnah rasul s.a.w yang sangat digalakkan untuk kita lakukan. Fadhilatnya, sebagaimana disebut dalam hadis-hadis di atas, ibarat berpuasa selama setahun. Justeru, marilah kita sama-sama praktikkan sunnah ini dan moga-moga kita mendapat ganjaran yang setimpal dengan amalan kita.

sumber:

Sunday, 4 August 2013

Lailatul Qadr Malam yang Diburu 1

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١)وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢)لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)تَنَزَّلُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (٤)سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (٥
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam kemuliaan 
2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
3. Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan. 
5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
Promosi Berganda Menambah Pahala
Malam Al Qadr merupakan tawaran terakhir yang Allah sediakan buat hamba-hambanya dalam mengaut keuntungan yang berlipat ganda dalam bulan Ramadhan yang mulia. Bagi mereka yang secara 'tidak sengaja' mensia-siakan segala kelebihan pahala di bulan ramadhan sepanjang awal dan pertengahan ramadhan yang lepas, inilah peluang terakhir untuk menebus segala kerugian mereka. Sedang mereka yang konsisten dari awal sehingga akhir, promosi ini sebagai satu bonus buat mereka untuk terus mengaut pahala.
Malam Keberkatan Penuh dengan Kehebatan
Alangkah beruntungnya kita, umat nabi Muhammad s.a.w kerana dikurniakan Allah dengan satu malam yang cukup istimewa. Bayangkan, hanya dengan satu malam sahaja, banyak kehebatan yang berlaku. Antara kehebatan dan keistimewaan malam Al Qadr ialah:
1) Malam diturunkan Al Quran padanya
                                                                 إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ    
 Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam kemuliaan 
2) Dituliskan pada malam tersebut ketetapan bagi tahun itu
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)  


Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al Jami' li Ahkam Al Quran, Al Qurtubi 16/126)

Pendapat ini turut disokong oleh Imam at Tabari, Imam Qatadah, Mujahid dan al Hassan.

3) Malam yang lebih Baik dari Seribu Bulan
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan (Al Qadr: 3)

4) Pada malam itu turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibril a.s)
Dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam yang sejahtera sehingga ke paginya
سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar (Al Qadr: 5)

sumber: http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/604-peluang-last-minute-lailatul-qadar-a-kita.html

Friday, 2 August 2013

Tarikh Nuzul Quran: Apa yang kita tidak tahu


Sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia untuk meraikan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan setiap tahun. Namun, apa yang kita tidak tahu, tarikh sebenar penurunan Al Quran ini sebenarnya telah menjadi suatu khilaf dalam kalangan ulama'.
Berikut disenaraikan beberapa pendapat masyhur berkaitan tarikh penurunan Al Quran:

17 Ramadhan
Pendapat ini masyhur dalam kalangan ulama' sirah antaranya Syaikh Al Khudari dalam kitabnya Muhadharat Tarikh Al Umam Al Islamiyyah. 
Dalil: 
1) Al Quran
"Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan kepada petunjuk itu,juga sebagai pembeza ( antara yang haq dan yang batil )..." (Al Baqarah:185) dan "Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan…" (Al Anfal:41) 
-dalil pertama yang mengatakan bahawa Al Quran diturunkan pada 17 Ramadhan adalah disandarkan kepada hari berlakunya perang Badar. Dalam ayat yang pertama (Al Baqrah:185), Allah menggelar Al Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan sebagai pembeza (Al Furqan). Ayat yang kedua pula menyebut bahawasanya hari berlakunya perang Badar digelar sebagai hari Al Furqan. Setengah pihak beranggapan bahawa perang badar digelar yaumul furqan kerana jatuh pada hari Al Furaqan (Al Quran diturunkan. Perang Badar berlaku pada 17 Ramadhan, maka Al Quran diturunkan pada 17 Ramadhan.
2) Hadis
Al Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ja'far Al Baqir bahawa dia berkata: "Permulaan wahyu kepada Rasulullah s.a.w. adalah pada hari Isnin 17 Ramadhan, dan dikatakan juga pada 24 Ramadhan"
Penghujahan dalil:
1) Di sini terdapat beberapa kekeliruan dalam penafsiran maksud yaumul furqan itu sendiri. Ibnu katsir menyebut di dlam tafsirnya bahawa yaumul furqan bermaksud Allah mengangkat kalimat keimanan di atas kalimat kekufuran. Ali bin Abi Talhah dan Al Awfi melaporkan bahawasanya Ibn Abbas telah berkata: "Badar adalah yaumul furqan; ketika itu, Allah memisahkan di antara haq dan batil," Justeru, yaumul furqan di sini bukanlah bermaksud hari al furqan diturunkan.
2) Menurut Ulama' Al Jarh wa At Ta'di, al Waqidi atau nama penuh beliau Muhammad bin Umar bin Waqid al Aslami seorang perawi yang sangat lemah (matruk) dan tidak diterima riwayatnya.

21 Ramadhan
Ini adalah pendapat daripada Syeikh Safiyy Ar Rahman Al Mubarakfuri. Beliau melakukan tarjih yang berbeza berbanding ulama' lain.  
Dalil:
1) telah disepakati dalam kalangan ulama' Al Quran diturunkan pada malam Al Qadr berdasarkan beberapa dalil dalam Al Quran.
2) ulama' sirah atau majoriti dalam kalangan mereka bersepakat bahawa hari Rasulullah diutuskan (turunnya wahyu pertama) adalah pada hari Isnin berdasarkan hadis Abu Qatadah dalam sahih muslim dan lain-lain.
3) berdasarkan pengiraan takwim, hari Isnin semasa Rasulullah s.a.w. dibangkitkan jatuh pada 7, 14, 21 dan 28 Ramadhan .
4) Hadis-hadis yang sahih pula menyebut bahawa lailatul qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam yang ganjil, pada 10 malam terakhir Ramadhan.
5) Setelah dibuat perbandingan, maka jelaslah Al Quran jatuh pada 21 Ramadhan
Penghujahan Dalil
1) Pendapat ini merupakan hasil daripada cetusan ijtihad Syeik Safiyy Ar Rahman Al Mubarakafuri semataa-mata.
2) Lailatul Qadr boleh berlaku pada bila-bila masa, sepanjang Ramadhan

24 Ramadhan
Pendapat ini disokong oleh ulama'-ulama' seperti Hasan al Basri, At Tabari, Al Qurtubi dan lain-lain.
Dalil:
1) Al Quran
-Al Quran diturunkan secara sekaligus pada malam Al Qadr sebagaimana termaktub dalam surah Al Baqarah: 185 dan Al Qadr: 1
2) Hadis
Berkata Imam Ahmad: Abu Sa’id Maula Bani Hashim memberitakan kepada saya, katanya: ‘Imran Abu al-‘Awwam memberitakan daripada Qatadah daripada Abi al-Malih daripada Wathilah bin Al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada 13 Ramadhan. Dan Allah menurunkan al-Furqan (Al-Qur’an ) pada 24 Ramadhan.
-Hadis ini dinilai hasan oleh syeikh albani dan sahih oleh Syaikh Ahmad Syakir
Penghujahan dalil:
1) pendapat ini agak kuat kerana ia disandarkan kepada hadis marfu' yang sahih dan diperakui oleh ulama'-ulama' dalam bidang hadis.
2) matan hadis ini jelas menyatakan Al Quran diturunkan pada 24 Ramadhan
3) maksud dan mafhum hadis diterima pakai oleh ulama' muktabar dalam menetapkan tarikh penurunan Al Quran

Kesimpulan
Al Quran adalah satu mukjizat agung yang masih kekal hingga hari ini. Tunaikanlah hak Al Quran dengan sebaiknya. 

sumberhttp://www.abuanasmadani.com/?p=1150