Saturday, 8 August 2015

Corat-coret Agamawan: Satu Pandangan



Entah kenapa,  semenjak dua menjak ini,  banyak kisah yang saya baca di internet yang menyentuh tentang perihal agamawan di negara ini. Daripada kisah agamawan yang berpolitik kepada agamawan yang berautoriti hinggalah kepada cerita mengenai agamawan yang punya populariti.
 Tatkala meneliti isu yang berlaku dalam kalangan agamawan tersebut, saya tidak dapat mengelak untuk berasa simpati dengan apa yang berlaku terhadap golongan ini apatah lagi sebagai seorang pelajar yang mengambil jurusan agama, saya mungkin bakal tergolong dalam kelompok ini satu hari nanti.

Tentang Agamawan

 Agamawan merujuk kepada mereka yang mempunyai latar belakang pengajian Islam dan bergiat dalam lingkungan itu juga samada sebagai pengajar,  pendakwah mahupun pemikir. Di Malaysia, agamawan turut juga dikenali sebagai ulama', ustaz ustazah, pendakwah dan lain-lain.
 Di dalam Islam,  golongan agamawan diangkat pada kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat. Mereka dijadikan sebagai tempat rujukan,  mendapatkan khidmat nasihat dan pemimpin masyarakat.  Dalam sejarah bangsa Melayu juga kita akan dapati bahawa golongan ini bukan sahaja dihormati dalam kalangan masyarakat biasa bahkan juga bangsawan (golongan istana).
 Suatu masa dahulu golongan agamawan dipandang sebagai mereka yang bijak. Nasihat mereka sentiasa dihormati. Kata-kata mereka sentiasa dinanti. Pandangan mereka sentiasa diamati.
 Namun kini,  segalanya seakan terbalik.
 Hari ini,  golongan agamawan sering diperkecil, diperlekeh dan dipersenda. Justeru,  hal ini buat saya tertanya; “Siapa patut dipersalahkan?  Masyarakat yang melayan agamawan sedemikian rupa ataupun agamawan sendiri yang tenggelam dengan status mereka sebagai agamawan?"
 Saya cuba amati setiap isu yang berlaku bagi menjawab persoalan tersebut.

Agamawan dan Politik: Isu Perpecahan PAS

 Tidak dapat tidak, Pas tidak boleh menafikan bahawa perpecahan yang berlaku dalam kalangan ahlinya berpunca daripada pertelingkahan diantara golongan agamawan (lebih dikenali sebagai ulama' dalam PAS)  dan golongan progresif (turut dikenali sebagai golongan profesional) .
 Pertelingkahan yang berlaku sejak dahulu lagi menjadi runcing apabila golongan ulama' menang besar dalam muktamar PAS baru-baru ini dengan menyingkir terus secara total golongan progresif daripada barisan kepimpinan PAS.
 Hal ini menyebabkan berlakunya penubuhan Gerakan Harapan Baharu (GHB)  yang dikepalai oleh golongan progresif dalam PAS.
 Menurut beberapa orrang ahli GHB,  selain menganggap PAS sudah tidak relevan, mereka menubuhkan GHB atas sebab terkilan dengn tindakan golongan agamawan yang dikatakan menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan mereka dan menikam mereka dari belakang sewaktu mereka membarisi pimpinan PAS.
 Secara peribadi,  saya menganggap penubuhan GHB merupakan satu tindakan yang salah dan mampu membawa kesan yang buruk dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini khususnya.
 Namun,  tidak dapat tidak,  saya turut terkilan dengan sikap segelintir golongan agamawan di dalam PAS dalam menangani isu ini,  baik sebelum berlakunya perpecahan,  mahupun selepas.
 Bermula daripada penglabelan-penglabelan yang tidak sepatutnya seperti jebon,  munafik haraki dan lain-lain hinggalah kepada menyerang peribadi dan membuka aib seseorang.
 Sebagai sebuah jemaah islam yang bergiat dalam politik,  PAS seharusnya mengambil pandangan masyarakat biasa yang sentiasa memandang PAS sebagai harapan Islam dalam politik negara.
 Dan saya yakin,  kebanyakan masyarakat memandang sikap yang dipamerkan segelintir golongan agamawan dalam PAS itu merupakan satu sikap yang tidak beretika dan jauh daripada akhlak islamiyyah.
 Sikap yang dipamerkan segelintir golongan agamawan ini perlu diubah kerana ia bukan sahaja memburukkan nama PAS sebagai sebuah jemaah Islam,  bahkan juga nama golongan agamawan, baik yang terlibat dalam politik mahupun tidak.
 Sekiranya tidak mampu diubah,  setidaknya sikap sebegitu janganlah diikuti oleh golongan muda dalam kalangan ahli PAS yang bakal menggantikan pimpinan sedia ada kelak.
 Apabila saya mengatakan segelintir,  ini menunjukkan bahawa hanya sedikit sahaja dalam kalangan agamawan yang bersikap sedemikian rupa sedang sebilangan besar yang lain kekal menjalankan amanah semampu mereka di atas panduan Al Quran dan As Sunnah.
 Golongan agamawan inilah yang memberikan saya keyakinan untuk terus komited menyokong perjuangan PAS walau di sebalik apa yang berlaku dalam jemaah ini.
 Saya tetap menyimpan harapan agar PAS dapat menjadi peneraju kesatuan umat Islam di negara ini.

Autoriti Mufti: Sikap Kita

 Baru-baru ini mufti wilayah persekutuan, Sahibus Samahah Dr Zulkifli Al Bakri telah mengeluarkan fatwa beliau tentang rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape.
 Penjelasan beliau dalam fatwa berkenaan vape ini disertakan dengan fakta-fakta terperinci dari sudut sains di samping huraian berdasarkan hukum pandang agama. Dalam fatwa beliau,  Dr Zulkifli Al Bakri menyimpulkan bahawa hukum vape sama seperti hukum rokok iaitu haram.
 Dr Zulkifli al Bakri merupakan antara mufti yang agak terkenal di Malaysia. Selain mufti Perlis sahibus samahah Dr Mohd Asri, fatwa Dr Zulkifli Al Bakri sentiasa dinanti terhadap sesuatu isu. Jika Dr Asri terkenal sebagai mufti yang berani dan lantang dalam menjalankan amanahnya,  Dr Zulkifli Al Bakri pula dikenali sebagai mufti yang sangat sederhana dan penuh hikmah dalam kata-katanya. Sepanjang beliau menjadi mufti, beliau tidak pernah mengeluarkn fatwa dengan tergesa-gesa sehinggalah beliau mendapatkan maklumat yang cukup untuk memahami sesuatu isu. Hali ini menunjukkan betapa tawaduknya beliau sebagai seorang yang alim dan amanahnya beliau sebagai seorang mufti.
 Dengan akhlak beliau yang sebegitu,  saya amat terkejut dengan respon beberapa orang terhadap fatwa beliau berkenaan vape.
 Penolakan mereka secara terang-terangan di laman sosial terhadap  fatwa ini secara tidak lansung akan menjatuhkan kredibiliti institusi mufti sebagai badan berautoriti dalam hal ehwal agama di negara ini dan dengan jelas menunjukkan betapa mereka tidak menghormati badan berautoriti tersebut .
 Cukuplah fatwa mufti wilayah persekutuan ini diperkecilkan oleh golongan bukan Islam (SINI). Sebagai seorang muslim,  seharusnya kita menjaga dan mempertahankan nama baik syariat Islam dengan menghormati pandangan ulama' yang berautoriti. Adapun hendak mengikuti pandangan mufti,  terpulang pada masing-masing atas kapasiti dosa pahala ditanggung sendiri.
 Peristiwa ini mengingatkan saya terhadap isu fatwa negeri Sekangor terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) yang memutuskan bahawa SIS menyimpang daripada ajaran Islam.
Rentetan daripada fatwa tersebut,  beberapa orang pemimpin politik yang beragama Islam telah mengadakan satu sidang media bagi menunjukkan ketidaksetujuan mereka terhadap fatwa tersebut.
 Tindakan mereka itu hanya menjatuhkan kredibiliti majlis fatwa negeri Selangor.
 Kesimpulannya,  saya meyakini bahawa nama baik institusi Islam perlu dijaga dan kredibilitinya perlu sentiasa dipertahankan.
 Sekiranya terdapat sebarang fatwa atau hukum yang dikeluarkan intitusi-institusi tersebut,  fatwa dan hukum tersebut seeloknya dihormati walaupun bercanggah dengan pendapat sendiri dengan cara tidak memperkecilkan fatwa-fatwa tersebut secara terbuka baik di laman sosial mahupun di media massa. Sebaiknya berjumpalah secara tertutup dengan mana-mana wakil institusi tersebut untuk berbincang mahupun berbahas bagi mendapatkan penerangan yang lebih jelas. Sekiranya tidak mampu berbuat demikian,  seeloknya kita berdiam dan mengamalkan apa yang kita yakini secara peribadi atas kesedaran bahawa kita menanggung dosa dan pahala sendiri.

Ustaz/ah Selebriti: Antara Kesalahan Mereka dan Kesalahan Kita
 Baru-baru ini viral di laman sosial tentang kenyataan seorang ustazah yang terkenal mengenai perihal susu lembu. Kenyataan beliau mengundang kemarahan beberapa orang di laman sosial sehinggakan menyebabkan ustazah tersebut diperlekeh dan dipersenda. Keilmuan ustazah tersebut turut diperkecilkan.
 Saya pertama mengenali ustazah tersebut sebagai seorang penulis novel. Seterusnya,  saya mengikuti juga tulisan beliau dalam sebuah majalah motivasi agama yang terkenal yang banyak menyentuh mengenai perihal golongan remaja dan belia. Daripada penulisan beliau,  saya mengagumi keilmuan beliau dalam bidang agama. Saya juga pernah ternampak beliau dalam satu majlis ilmu. Menakjubkan. dalam majlis ilmu tersebut beliau bukan hadir sebagai penyampai,  tetapi hadir sebagai pendengar.
 Ustazah ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat terutama sekali golongan remaja dan belia sehingga beliau digelar sebagai ustazah selebriti.
 Malangnya,  atas kapasiti beliau sebagai ustazah selebriti itulah yang mungkin menyebabkan kesalahan beliau dalam fakta sains tersebut diviralkan.
 Lantas,  apa yang berlaku pada ustazah tersebut mungkin boleh dijadikan sebagai pengajaran buat ustaz ustazah lain yang turut mendapat gelaran ustaz/ah selebriti untuk lebih berhati-hati dan membuat persediaan dalam menyampaikan sesuatu kerana status mereka itu lebih membuatkan setiap kenyataan mereka mampu mengundang kontrovesi.
 Sungguhpun begitu,  dalam kes ustazah ini,  saya memandangnya daripada sudut berbeza.
 Saya melihat ustazah ini sebagai satu bukti bahawa beliau, sama seperti kita,  adalah manusia yang pasti melakukan kesilapan. Lantas,  apa yang dinyatakan oleh ustazah tersebut saya anggap adalah satu kesilapan biasa seorang manusia yang tidak disengajakan.
 Saya percaya,  kesilapan yang tidak disengajakan itu insyaa Allah akan dimaafkan oleh Allah.
 Kita berhak untuk menegur dan menasihati mana-mana pendakwah atau ustaz/ah yang melakukan kesilapan. Namun,  teguran kita itu perlu menepati dengan akhlak dan adab Islam.
 Dan disinilah letaknya kesalahan kita.
 Ramai dalam kalangan kita mengviralkan kesalahan ustazah tersebut dengan disertai tulisan yang penuh dengan sindiran dan lekehan dan menganggap itu satu teguran terhadap ustazah tersebut.
 Begitu juga tukang-tukang komen di laman sosial yang memarakkan lagi isu.
 Bagi saya, sikap ini tidak menepati akhlak dan adab seorang muslim.
 Dan saya takut sikap ini mendekatkan kita kepada dosa.
 Saya lebih gemar untuk seseorang membuat teguran secara peribadi dan tertutup terhadap mana-mana agamawan yang melakukan kesilapan. Namun,  sekiranya ingin menegur secara terbuka sebagai iktibar buat masyarakat,  seeloknya dilakukan sehikmah dan sehemah mungkin dengan tidak mengaibkan,  merendahkan,  mahupun memperkecilkan sesiapapun.
 Bagi saya,  itulah yang terbaik.

Amanah Pelajar Agama
 Melihat kepada setiap isu yang berlaku terhadap golongan agamawan meembuatkan saya terpaksa menghela nafas dalam-dalam kerana mengenangkan betapa golongan agamawan ini  memikul satu tanggungjawab yang besar terhadap Islam. Di pundak mereka terdapat satu amanah untuk menjaga nama baik Islam. Inilah cabaran mereka. Setiap tingkah laku mereka akan diperhatikan bagi dijadikan hujah baik dalam mempertahankan Islam mahupun sebaliknya. Justeru,  hanya dengan persiapan yang betul-betul serius perlu dilakukan oleh golongan agamawan agar amanah mereka dalam meninggikan Islam dapat dilaksanakan.
 Mengimbau kembali sepanjang tiga tahun saya memfokuskan diri dalam pengajian Islam, saya berasa amat berdosa kerana seakan tiga tahun itu disiakan dengan persiapan yang tidak serius.
Apa yang berlaku pada hari ini diharap dapat dijadikan pengajaran buat mereka yang berada di dalam jurusan agama untuk lebih berusaha dan serius dalam mendalami ilmu Islam. Moga dengan masa yang berbaki ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Wallahua'alam.

Monday, 22 December 2014

Travelog Dakwah 2

Semuanya bermula di sebuah taman tema air di Shah Alam.
Sejurus selepas habis sahaja peperiksaan akhir semester, kami terus bergerak ke sana.
Dan ia berlaku tanpa dirancang. Hanya sekadar suka-suka,  kami merakam telatah kami di taman tema air tersebut.
Rakaman dikompilasikan dalam bentuk video.
Dan video itu benar-benar menarik perhatian kami.
Maka bermulalah satu projek kecil ini.

Video Da'wah (Vida'wah)
Vida'wah.
Video berunsur da'wah.
Projek video ini mungkin tidak segah projek-projek video yang sudah menempa nama di laman-laman sosial.
Namun,  bagi saya,  ia sudah cukup untuk membawa mesej; dakwah  itu bukan sekadar memberi ceramah atau kuliah.
Melalui video pertama kami itulah, kami berseuju untuk meneruskan usaha membikin video dan diketengahkan dalam bentuk dakwah dan nasihat.
Pada asalnya, sahabat saya, Ikhsan, menamakan kumpulan ini dengan nama Pah Som Studio. Kemudian, nama ini ditukar kepada Vida'wah.
Vida'wah adalah merupakan satu usaha kecil kami untuk mengetengahkan pelajar jurusan agama khususnya dan pelajar universiti umumnya di dalam arena dakwah di samping menyampaikan mesej dakwah itu sendiri.
Kami masih berada di peringkat permulaan, tetapi insyaaAllah, sedikit demi sedikit, kami akan sentiasa berusaha untuk menambahbaik penyampaian kami untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.
Klise Dakwah
 “Aku sejujurnya tak berapa setuju dengan klise program realiti Islamik yang diketengahkan siaran-siaran televisyen di Malaysia ni..."
Saya mengeluh di sebelah sahabat saya yang sedang asyik menonton sebuah rancangan dakwah di televisyen.
“Lorh...awat gitu pulak?"
 “Takde, program-program macam ni memang ade kebaikkannye. Tu memang tak dapat dinafikan lagi. Tapi,  kalau dah bertahun-tahun bawak konsep yang sama,  walaupun setelah dijenamakan semula...aku rasa tak berapa menarik. Dan bagi aku,  benda ni boleh bawak satu persepsi yang streotaip terhadap penyampaian dakwah, "
“Apa yang hang maksudkan dengan konsep yang sama? "
“Peserta berdiri di atas pentas,  dan berceramah. Setiap program realiti islamik yang diwujudkan,  semuanya bawa konsep ni. Tak kirala siaran televisyen manapun. Semuanya sama. Aku risau benda ni akan bentuk persepsi masyarakat yang dakwah ini hanya berbentuk gitu je,"
“Yep, aku agak setuju dengan hang. Dan lagi satu,  bagi aku,  konsep penyampaian dakwah macam tu, tak cukup kreatif. Kalau kreatif sekalipun,  masih belum inovatif. Dua benda ni la antara dua elemen penting untuk menjadi daya penarik terhadap dakwah yang cuba disampaikan, "
Dakwah Kreatif, Dakwah Inovatif
Era ini ialah era teknologi. Justeru,  menjadi satu keperluan terhadap para pendakwah untuk memanipulasikan kecanggihan teknologi bagi mengekalkan kerelevanan dakwah yang cuba disampaikan.
Dalam pertemuan saya dan tim TRILOG dengan ANIMO,  sebuah syarikat aplikasi komik di Malaysia, saya telah diperkenalkan dengan teknologi 'motion comic'. Ideanya sangat menarik. Komik dengan efek yang bergerak,  menambahkan lagi penghayatan di dalam membaca komik. Teknologi ini masih belum sampai di Malaysia,  namun andai kata suatu hari nanti ia berjaya dibawa ke sini,  saya berharap agar biarlah komik berunsur dakwah dan tarbiah yang menjadi pelopornya.
Membelek-belek pula laman muka buku,  saya terhenti pada status guru saya,  ustaz Umar. Beliau memperkenalkan satu teknologi baru dalam majalah keluaran Telaga Biru, iaitu teknologi Augmented Reality (AR) . Cukup menakjubkan. Melalui teknologi ini,  dunia maya mampu dibawa ke alam realiti.
Kedua-dua teknologi ini adalah antara beberapa contoh kecanggihan teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh para pendakwah di dalam menyampaikan dakwah mereka. Sungguh,  ini merupakan satu cabaran para pendakwah dalam memastikan dakwah mereka itu benar-benar berkesan dan mampu menarik sasaran dakwah terhadap Islam. Dan antara cara bagi menyahut cabaran itu adalah dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang tersedia.
Ini merupakan antara cara bagi memastikan dakwah kita sentiasa kreatif dan inovatif.
Kesimpulan
Dalam melakukan satu gerak kerja,  kita dituntut untuk melakukannya sehabis baik dan sepenuh usaha. Apatah lagi jika gerak kerja itu merupakan satu gerak kerja dakwah. Firman Allah swt:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah serta petunjuk
(An Nahl: 125)
Sungguhpun begitu,  harus diingat bahawa akhirnya yang memegang kuasa untuk memberi hidayah itu hanyalah Allah swt. Semua ini berlaku atas keizinannya.
Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak dapat memberikan hidayah kepada siapa yang engkau suka, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki
(Al Qasas: 56)
Oleh itu,  di samping mempergiatkan usaha menggerakkan dan menambahbaik dakwah kita,  hubungan kita dengan Dia yang memberi hidayah harus sentiasa dijaga. Itulah yang lebih utama.
Vida'wah masih muda dalam arena dakwah ini. Namun,  saya kekal optimis bahawa Vida'wah mampu terus kehadapan dalam penyampaian dakwah.
Moga usaha dakwah ini diterima oleh Allah swt.


Credit to:
Ikhsan
&
Semua pelajar IRK

Sunday, 9 November 2014

Cerita Umat Islam


Saya pernah menonton filem Lord of The Ring tetapi bukan triloginya. Saya tidak menonton semua. Hanya yang sempat saya tonton adalah sirinya yang terakhir iaitu The Return of The King.
Sungguhpun begitu, saya tertarik dengan satu kata-kata karakter di dalam filem tersebut yang terdapat di dalam siri kedua filem tersebut iaitu The Two Towers. (walaupun saya tidak menonton siri ini)
Kata-kata ini diucapkan oleh Sam kepada Frodo sewaktu Frodo hampir berputus asa di dalam misinya.
“It’s like in the great stories
The one that really mattered
Full of darkness and danger they were…”
Cerita Umat Islam
Realiti yang berlaku ke atas umat Islam pada hari ini bagaikan sebuah cerita fantasi, kisah dongengan yang mempunyai jalan penceritaan yang klise.
Kehidupan watak utama di dalam mana-mana cerita rekaan biasanya digambarkan dalam keadaan penuh kesengsaraan dan kesusahan.
Pelbagai dugaan dan cabaran menerpa ke arah mereka.
Dalam hal ini, umat Islam adalah watak utamanya.
Apa yang berlaku ke atas umat Islam sekarang ini penuh dengan kegelapan.
Mereka dicaci, dimaki, dicerca dan dihina. Tidak cukup dengan itu, umat Islam turut diinjak dan dipijak dan negara mereka diserang dan diperang.
Inilah realiti yang berlaku ke atas umat Islam pada hari ini.
Di Palestin, penderitaan yang dihadapi mereka sudah memakan masa kira-kira 60 tahun lebih. Semenjak ditubuhkan negara haram Israel  pada tahun 1948, umat Islam di sana telah dizalimi dan diperlakukan sewenang-wenangnya. Perumahan mereka dirobohkan. Mereka dihalau daripada kampung halaman sendiri. Hak-hak mereka dirampas dan banyak lagi. Terkini, pihak Israel Zionis laknatullah cuba untuk menafikan hak umat Islam Palestin untuk bersolat di dalam Masjid Al Aqsa.SINI

Perang di Syria pula masih lagi berlanjutan. Pertempuran yang pada asalnya hanya melibatkan di antara pihak dalaman iaitu pemberontak dan pemerintah kini mula melibatkan juga campur tangan pihak luar terutama Amerika. Mangsanya, masyarakat awam.SINI

Di Asia Timur, Umat Islam Rohingya pula terus menerus dinafikan hak mereka sebagai penduduk Myanmar. Terbaru, pelarian Rohingya telah diberikan masa selama tiga minggu untuk keluar daripada Myanmar.SINI

Mesir menyaksikan satu kebangkitan rakyat secara besar-besaran sehingga mengakibatkan pemerintah diktaktor Hosni Mubarak berjaya digulingkan. Setelah itu, telah berlaku satu proses pengundian yang paling adil pernah berlaku di dalam sejarah negara Mesir. Kesannya, Parti Kebebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwanul Muslimin bejaya memenangi pilihanraya tersebut dan Morsi naik menjadi presiden. Namun, tempoh pentadbirannya tidak lama. Dalam masa hanya setahun pentadbiran, beliau telah dijatuhkan pula melalui satu konspirasi yang dilakukan oleh Jeneral As Sisi. Kemenangan Presiden Morsi dalam pilihanraya pada awalnya dilihat sebagai satu sinar baru dalam kebangkitan umat Islam, padam tatkala beliau dijatuhkan secara tidak terhormat. Umat Islam kembali ditekan dan ditindas.
Banyak lagi penderitaan umat Islam yang berlaku di seluruh negara seperti di Iraq, Afghanistan, Kashmir, Bosnia, Somalia dan banyak lagi. Semua ini tidak mampu untuk dikisahkan di sini.
Namun apa yang pasti, umat Islam terus menerus dizalimi.
Terlalu banyak cerita duka yang berlaku ke atas umat Islam sehingga kelihatan seakan ia tidak akan ada pengakhirannya.
Bahkan jika ia ada pengakhirannya pun,kita akan merasakan bahawa  kita tidak akan sanggup untuk menghadapinya…
“And sometimes you didn’t want to know the end
Because how could the end be happy
How could the world go back to the way it was
When so much bad had happened…”
Sinar Harapan
Namun, Allah SWT itu Maha Adil. Dipergilirkan sesuatu itu sesuai mengikut aturannya.
“…But in the end,
It’s only a passing thing
This shadow
even darkness must pass…”
Penderitaan itu pasti akan berlalu juga. Tidak kira berapa lama masa yang diambil, ia tetap pasti akan berlalu.
Dan ia akan dimulakan dengan yang dinamanya kesedaran. Kesedaran terhadap isu umat Islam seterusnya membawa kepada kesedaran untuk mengubah diri.Daripada diri akan timbul pula kesedaran untuk mengubah keluarga dan daripada keluarga, wujud kesedaran untuk mengubah masyarakat. Dan daripada kesedaran inilah, akan timbulnya satu kebangkitan.
Kebangkitan dari sudut ilmu.
Kebangkitan dari sudut ekonomi.
Kebangkitan dari sudut politik.
Kebangkitan dari segenap aspek dalam kehidupan.
Saya melihat proses itu sudah mula berjalan. Tidak perlu pergi jauh, di Malaysia sahaja sudah wujudnya kesedaran dalam kalangan masyarakat. Apa yang lebih menggembirakan, kesedaran itu turut didokongi oleh golongan muda yang akan mewarisi kepimpinan dunia kelak.
Anak muda sudah mula berjinak-jinak dengan pengajian agama yang mendalam.
Mereka juga bersungguh di dalam mentarbiah diri mereka dengan nilai-nilai Islam.
Tidak ketinggalan juga yang berusaha untuk membentuk intelektual mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Bahkan ada juga yang semakin berani memperjuangkan keadilan bagi menjatuhkan kezaliman.

Saya yakin perkara yang sama juga berlaku di seluruh dunia.
Semua ini terjadi disebalik meningkatnya penindasan ke atas umat Islam.
Seakan-akan memberi petanda bahawa mentari pagi mula menyinar di sebalik kelamnya kegelapan malam itu…
“…A new day will come
and when the sun shines,
it will shine out the clearer”
-Sam LOTR-
Kebangkitan yang Satu
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).”
(An Nur: 55)
Kebangkitan itu sudah bermula. Namun perlu terus ditingkatkan dan disebarluaskan lagi. Hal ini menuntut usaha yang bersungguh sungguh dan berterusan daripada kita.
Dan juga jangan dilupa, kebangkitan semata tidak cukup untuk mengatasi gelapnya kezaliman itu. Kita juga memerlukan apa yang dipanggil sebagai kesatuan.

Teruskan berdoa untuk saudara kita….

Wednesday, 5 November 2014

Travelog Dakwah 1


Antara kegemaran saya dalam mengisi masa lapang pada hujung minggu adalah berkunjung ke kedai buku. Biasanya, setiap kali saya ke kedai buku, pasti akan ada satu buku yang akan saya beli. Namun, kadang-kadang, ketika duit tidak ada di dalam poket, saya hanya datang sekadar berkunjung, melihat-lihat lambakan buku yang tersusun di rak kedai buku tersebut.

Baru-baru ini juga saya telah berkunjung ke kedai buku MPH di midvalley. Ketika saya melalui rak buku bahagian majalah, sebuah majalah remaja berjaya menarik perhatian saya.

"Lebih kurang sama macam TRILOG..."
Dengan berkonsepkan majalah dakwah untuk remaja, majalah tersebut didatangkan dalam bentuk komik dan penulisan santai, hampir sama seperti TRILOG.



Tarbiah Remaja Islam LOG (TRILOG) 

TRILOG merupakan projek yang diasaskan oleh sahabat-sahabat saya dan saya sendiri. Projek ini bermula apabila sahabat saya, Habib, dan saya menyedari wujudnya dalam kalangan pelajar jurusan agama di universiti kami yang mempunyai bakat di dalam melukis. Maka, kami kumpulkan kesemua mereka itu yang terdiri daripada tiga orang, dan bersama-sama, kami mengasaskan TRILOG.

TRILOG merupakan satu projek dakwah yang ditampilkan di dalam bentuk majalah komik. Antara matlamat utamanya adalah untuk menaikkan industri komik islamik supaya dapat menjadi alternatif bagi manga-manga yang menjadi gilaan golongan remaja di negara ini.
Alhamdulillah, setelah memakan masa hampir dua tahun, dan dengan bantuan daripada senior yang berpengalaman serta beberapa orang sahabat daripada UM dan IKIP, projek ini berjaya direalisasikan dengan keluarnya isu pertama di pasaran.



Faktor Penarik

Saya terus membelek majalah tersebut. Hati saya sedikit gembira melihat betapa usaha dakwah kreatif semakin bercambah di negara ini. Majalah dakwah berbentuk komik antara salah satu penyumbangnya. Namun, usaha yang gigih harus ditingkatkan bagi memastikan industri komik Islamik ini berjaya menawan dan menambat hati masyarakat terutama golongan remaja dan belia untuk membacanya.

Antara cara ke arah itu adalah dengan berusaha untuk menampilkan karya kita, baik penulisan mahupun lukisan ataupun apa sahaja bentuk dakwah, sekreatif mungkin. Perlu ada di dalam setiap medium dakwah itu faktor penarik yang mampu untuk mengikat hati mad'u.
Persoalannya, bagaimanakah cara untuk mendapatkan faktor penarik tersebut?



Secebis Kisah

Syeikh Abdurazzaq al Halabi ialah seorang ulama' ini Syria yang sangat terkenal. Murid-murid beliau sangat ramai dan terkenal di seluruh dunia. Ulama' besar ini wafat pada tahun 2013 yang lalu.

Suatu hari, Syeikh Abdurazzaq menyampaikan khutbah sepanjang 15 minit. Walaupun ringkas, khutbah tersebut meninggalkan kesan mendalam dalam diri setiap pendengarnya. Usai berkhutbah, beliau bertanya kepada seorang muridnya: "Tahukah engkau berapa lama masa yang aku perlukan untuk menyiapkan khutbah ini? Aku menyiapkan selama TUJUH HARI MEMBACA DAN TIGA JAM QIAMULLAIL SETIAP MALAM.
Kisah ulama' di atas mempunyai hikmah yang sangat mendalam jika ditenungi. Dalam kita menyampaikan dakwah, kita boleh memerhatikan dua perkara bagi memastikan apa yang kita sampaikan itu mampu menyentuh hati mad'u.

Mantapkan Ilmu
Perkara pertama adalah persiapan yang mantap sebelum menyampaikan dakwah. Persiapan ini termasuklah memahami skil-skil berdakwah, latar belakang sasaran dakwah dan sebagainya. Dan antara yang terpenting di dalam persiapan dakwah kita adalah mempersiapkan diri kita dengan ilmu sebagaimana yang dilakukan oleh Syeikh Abdurrazzaq yang memperuntukkan dirinya selama tujuh hari untuk membaca buku hanya semata untuk menyampaikan khutbah selama 15 minit.

Hablu Minallah
Seterusnya, usah dilupa akan hubungan kita dengan Allah. Inilah sebenarnya perkara yang terpenting yang harus dan wajib dilakukan oleh seorang pendakwah bagi memastikan dakwah yang disampaikan itu mampu memberi kesan terhadap mad'u.
Hal ini kerana, hakikatnya, yang memberi hidayah itu hanyalah Allah swt. Yang menyentuh hati itu hanyalah Allah swt. Bukannya kita mahupun cara dan wasilah dakwah yang kita gunakan. Tidak kiralah bagaimana kreatif dan unik pun medium dakwah yang kita gunakan, andai Allah tidak mengizinkan dakwah itu sampai kepada hati mad'u, mad'u tidak akan terkesan lansung dengan dakwah tersebut.
Hal inilah yang sebenarnya akan menjadi faktor penarik di dalam penyampaian dakwah kita.
Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa wasilah dan medium dakwah perlu sentiasa diperbaharui ke arah yang lebih kreatif agar ia mampu untuk menembus masuk ke dalam realiti masyarakat. Namun, dalam masa yang sama, dua perkara penting yang disebutkan di atas perlu terus diamalkan supaya usaha dakwah ini dapat kekal berada dibawah rahmat Allah swt.

Masa Depan Dakwah
Seusai pulang dari kedai buku tersebut, saya segera mecapai majalah TRILOG yang berada di atas meja saya dan terus menatapnya buat kesekian kalinya. Dan di dalam hati saya terpasak satu keyakinan bahawa dakwah di negara ini akan terus berkembang mekar pada masa hadapan.
Apa yang penting, hati kita terus kekal berada dekat dengan Allah swt….


Khas buat sahabat TRILOG…
Kak Fatimah
Kaer
Anaxz
Enxsa
Maman
Rahmah
IFMoses
Kamil
Musirrah
N. Hana
Aimi Ael
Syaukazd

dan juga…
Syahirah
Syukriah
Nuha

Fadhilah

Saturday, 6 September 2014

Memahami Konsep Syura dalam Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah

Pada bulan Zulkaedah tahun ke 6 hijrah, Rasulullah S.A.W. telah menyuarakan hasrat baginda untuk menunaikan umrah di Mekah kepada para sahabat setelah baginda bermimpi bahawa baginda dan para sahabat masuk ke dalam kota Mekah dalam keadaan bercukur dan bergunting rambut.
"Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada RasulNya tentang kebenaran mimpinya bahawa kamu pasti akan memasuki masjidil haram, dalam keadaan aman dengan mencukur rambut kepala dan memendekkannya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang kamu tidak kamu ketahui dan selain itu Dia telah memberikan kemenangan yang dekat"
(Surah Al-Fath: 27)
Setelah berbincang, Rasulullah S.A.W. dan para sahabat telah bersetuju untuk pergi berkunjung ke Mekah pada tahun itu juga.

Konflik
Namun, tatkala rombongan umat Islam sampai ke hudaibiyah, berlaku beberapa kejadian yang akhirnya membawa kepada peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Penerimaan Rasulullah S.A.W terhadap kandungan perjanjian tersebut telah menimbulkan kesedihan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan para sahabat. Hal ini kerana Rasulullah S.A.W. bukan sahaja membelakangkan keputusan yang telah dipersetujui bersama iaitu untuk tetap menziarahi Baitullah pada tahun itu juga, bahkan keputusan Baginda untuk menerima perjanjian tersebut lansung tidak dirujuk oleh sesiapapun dalam kalangan sahabat. Selain itu, isi kandungan perjanjian tersebut juga seakan merugikan umat Islam. Kesedihan para sahabat terhadap isi kandungan perjanjian itu terzahir dengan jelas tatkala para sahabat memberontak tidak mahu melaksanakan perintah Rasulullah S.A.W. untuk bertahalul.

Akan tetapi berkat tarbiyah yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W. dan kuatnya iman mereka terhadap Allah SWT, perlahan-lahan para sahabat memujuk hati mereka dan terus kekal berada di atas landasan perjuangan yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. 
Akhirnya, ternyata apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. itu adalah satu tindakan yang terbaik. Peristiwa perjanjian Hudaibiyah akhirnya membuka pintu kemenangan kepada umat Islam untuk menakluk kota Mekah.
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Agar Allah memberikan leampunan kepadamu (Muhammad) atas dosamu yang lalu dan yang akan datang, serta menyempurnakan nikmatNya ke atasmu dan menunjukimu ke jalan yang lurus. Dan supaya Allah memberikan pertolongan (untuk mencapai kejayaan) kepadamu dengan pertolongan yang mulia"
(Surah Al-Fath: 1-3)

Konsep Syura
Almarhum Prof Dr Ramadhan al Buti ketila menghuraikan sirah ini di  dalam kitabnya Fiqh Sirah berkata:

"Telah kita ketahui bahawa semua tindakan Rasulullah S.A.W. menunjukkan disyariatkan syura dan keharusan seorang pemimpin untuk berpegang teguh kepada prinsip ini. Perbuatan Nabi S.A.W. menunjukkan tabiat syura dan tujuan disyariatkan syura. Syura adalah syariat Islam tetapi tidak bersifat mengikat (pimpinan), sebab tujuan syura ialah untuk mendapatkan pelbagai pandangan kaum muslimin dan mencari kemashalatan yang mungkin hanya diketahui oleh sebahagian orang atau untuk memperoleh kerelaan jiwa mereka. Apabila seorang penguasa Muslim merasa mantap dengan pendapat mereka atas dasar dalil-dalil dan hukum-hukum syariat maka dia boleh mengambilnya..."
Dalam kenyataan di atas, dapatlah difahami bahawa syura itu merupakan sebahagian daripada syariat Islam. Justeru, wajib ke atas pemerintah muslim untuk melaksanakan syura dalam pemerintahan mereka. Walaubagaimanapun, syura sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr Said Ramadhan Al Buti tidak meletakkan kuasa untuk membuat keputusan itu di tangan ahli majlis syura, bahkan ia kekal di tangan pemerintah untuk membuat keputusan. Syura hanya berfungsi untuk meneliti dan menimbang tara pandangan yang mana akhirnyakeputusan terakhir dibuat oleh pemerintah itu sendiri. Hal ini lebih jelas di dalam kenyataan Dr Ramadhan Al Buti yang seterusnya di dalam buku yang sama:
"Ini bererti bahawa masalah syura harus tunduk kepada hukum wahyu yang adalah sekarang berupa Al Quran, As Sunnah dan Ijma' pada imam. Ia juga menunjukkan syura itu disyariatkan hanya untuk mendapatkan pandangan, bukan untuk mengundi suara"
Atas sebab ini, pemimpin juga mempunyai kuasa untuk meninggalkan keputusan syura atas kemaslahatan tertentu selagi mana apa yang diputuskan oleh pemimpin itu tidak bercanggah dengan Islam. Sirah Rasulullah SAW dalam peristiwa hudaibiyah menjadi dalilnya apabila rasulullah sendiri meninggalkan keputusan yang dicapai bersama para sahabat untuk masuk ke kota Mekah dengan mengambil keputusan sendiri untuk menerima perjanjian hudaibiyah.
Wallahua'lam.

Rujukan:
Fiqh Sirah Dr Said Ramadhan Al Buti
Sirah Nabawiyah Mustapha As Sibaie

Wednesday, 9 July 2014

Kronologi Serangan Terbaru Israel Terhadap Gaza

12 Jun:

  • Tiga orang remaja Israel telah dilaporkan hilang. Susulan daripada itu, Pihak berkuasa Israel melaksanakan operasi penagkapan besar-besaran terhadap penduduk Palestin untuk mencari tiga orang remaja tersebut.
  • Beberapa siri serangan roket daripada kedua-dua belah pihak (Israel dan Gaza) telah berlaku
30 Jun:
  • Mayat tiga orang remaja yang hilang telah dijumpai. Mereka dipercayai diculik dan dibunuh
  • Perdana Menteri Israel, Netanhanyu menuduh HAMAS bertanggungjawab terhadap penculikan dan pembunuhan tersebut. Pihak HAMAS menafikan tuduhan tersebut.
  • Sehingga kini pihak Israel gagal mengemukakan bukti bahawa HAMAS terlibat di dalam penculikan dan pembunuhan tersebut
1 Julai:
  • Israel melancarkan serangan udara ke atas 34 lokasi di Genting Gaza kononnya sebagai hukuman ke atas HAMAS dan Gerakan Jihad Islam.
2 Julai:
  • Seorang remaja Palestin telah diculik dan dibunuh dengan kejam oleh pelampau Israel sebagai satu tindakan membalas dendam terhadap penculikan dan pembunuhan tiga orang remaja Israel. Laporan Autopsi mengatakan remaja Palestin tersebut telah dipukul dengan objek tumpul dan dibakar hidup-hidup.
3 Julai:
  • Sepupu kepada remaja Palestin yang terbunuh itu pula dilaporkan telah dipukul dan dibelasah oleh pihak berkuasa Israel sewaktu pertembungan di antara penduduk Palestin dan pihak berkuasa Israel yang berlaku susulan daripada pembunuhan remaja Palestin tersebut.
4 Julai:
  • Kekecohan berlaku di antara pihak berkuasa Israel dengan penduduk Palestin selepas pengebumian remaja Palestin yang dibunuh oleh pelampau Israel.
8 Julai:
  • Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza. Serangan ini disifatkan sebagai yang paling teruk sejak November 2012.
Sehingga hari ini, dilaporkan kira-kira 50 nyawa telah terkorban kesan daripada serangan tersebut.

Wednesday, 5 March 2014

Autoriti Ulama' dalam Islam

Islam sebagaimana yang telah diturunkan oleh Allah azza wa jalla bukan sekadar sebagai sebuah agama, tetapi ia merupakan sebuah ad deen, yakni  satu jalan hidup yang lengkap, meliputi semua aspek kehidupan.
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan untuk kamu nikmatKu dan telah Aku reda bagi kamu Islam sebagai agama kamu.”
(Al  Maidah: 3)
Oleh kerana Islam merupakan ad deen yang lengkap, maka sewajarnya umat Islam meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya jalan penyelesaian bagi masalah umat atau penawar bagi penyakit dunia.
Al Quran dan Hadis Nabawi sebagai sumber utama
Dan seluruh ajaran Islam itu dirangkumkan akan segala asas dan prinsipnya di dalam sebuah kitab yang agung, iaitu Al Quran al Karim. Maka jadilah Al Quran itu kita yang lengkap, yang menerangkan segala urusan hidup, baik di dunia, mahupun di akhirat.
“Dan kami turunkan kepadamu Al Quran untuk menerangkan segala-galanya dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang muslim.”
(An Nahl: 89)

Seterusnya, kitab Al Quran ini diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya baginda s.a.w. dapat menerangkan dengan lebih jelas isi kandungan Al Quran kepada umat Islam. 

Oleh itu, antara fungsi hadis dalam Islam ialah sebagai menerangkan isi kandungan Al Quran. Tanpa hadis, umat Islam tidak akan dapat memahami Al Quran dengan jalan yang dikehendaki oleh Allah azza wa jalla.
Justeru, Al Quran dan hadis merupakan dua sumber yang tidak dapat dipisahkan. 
Hal ini sudah cukup untuk menyangkal sanggahan orang yang menolak hadis sebagai sumber perundangan Islam.
Maka, daripada sini, dapatlah disimpulkan bahawa dua sumber rujukan utama untuk memahami ajaran Islam adalah Al Quran dan Hadis. Janji Rasul saw bagi siapa yang berpegang kuat dengan keduanya adalah:
"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dansunnah Rasulullah," (s.a.w.).
(Riwayat Imam Malik)
Autoriti Ulama’
Setelah kewafatan Rasul s.a.w. teks dan nas Al Quran dan As sunnah masih perlu difahami dengan kefahaman yang sebenar. Nas-nas Al Quran dan as Sunnah perlu difahami bukan sahaja dari sudut zahir teksnya semata-mata, bahkan perlu diteliti dari sudut makna tersurat bagi dalil-dalil tersebut.
Golongan yang paling layak untuk melaksanakan tugas tersebut mestilah golongan yang paling arif dengan teks Al Quran dan As Sunnah. Mereka adalah golongan yang bergelumang dengan ilmu Al Quran dan As Sunnah selama berpuluh-puluh tahun. Menghabiskan kebanyakkan daripada umur mereka untuk mengkaji apa yang terkandung di dalam kedua sumber tersebut. Mengorbankan masa dan waktu mereka untuk mengeluarkan hukum daripada kedua teks tersebut bagi menyelesaikan masalah umat pada zaman mereka dan zaman yang akan datang.
Mereka inilah golongan yang dipanggil sebagai ulama’. Dan golongan ini telah diangkat darjat oleh Allah azza wa jalla sebagaimana disebut di dalam Al Quran:
"Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat."
(Al Mujaadilah: 11)
Seterusnya Rasul s.a.w. mengiktiraf pula golongan ulama’ ini sebagai pewaris para nabi disebabkan keilmuan yang ada pada mereka.
Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, sesungguhnya para Nabi tidak meninggalkan dinar mahupun dirham sebaliknya mereka meninggalkan ilmu dan barangsiapa yang mengambilnya sesungguhnya dia telah mengambil sesuatu yang sangat berharga.”
(Riwayat At Tirmidzi)
Ulama’ juga merupakan orang yang paling takut kepada Allah.
“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah al-Ulama”
(Al Fatir: 23)
Sebagai golongan yang paling tinggi ketakutannya kepada Allah, ulama’ akan sentiasa berusaha untuk memastikan mereka tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam kerana tindakan tersebut akan mengundang kemurkaan Allah.
Rasul s.a.w. seterusnya menekankan sekali lagi autoriti ulama’ sebagai pemimpin ummah di dalam sabda baginda s.a.w.:
Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan mencabutnya dari jiwa hamba-hamba-Nya, tetapi Dia mengangkat ilmu dengan dimatikan para ulama sehingga tiada seorangpun orang alim, manusia mengangkat orang-orang jahil sebagai ketua mereka, maka mereka ditanya lalu mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu, lalu mereka menjadi sesat dan menyesatkan”
(Riwayat Bukhari)
Ulama’ dan Kasta Paderi
Ulama’ adalah berbeza dengan para rabbi bagi yahudi dan paderi bagi kristian. Hal ini kerana rabbi dan paderi mengajar melalui sumber perundangan yang telah diubah suai dan diselewengkan sedang ulama’ Islam mengajar berlandaskan sumber yang Allah azza wa jalla sendiri berjanji akan memeliharanya yakni Al Quran.
Doktor Ummah
Akhir kalam, buat mereka yang masih lagi meragui autoriti ulama’ dalam sumber perundangan Islam, marilah kita sama-sama bermuhasabah. Tatkala kita ditimpa penyakit, kita meletakkan keyakinan kita kepada para doktor untuk merawat penyakit kita kerana mereka adalah golongan yang paling arif dalam ilmu perubatan. Maka, mengapa tidak dilakukan perkara yang sama dalam hal merawat penyakit umat? Sebagai seorang muslim, kita menyakini bahawa Islam adalah satu-satunya jalan penyelesaian bagi masalah ummah. Dan segala ajaran Islam itu terkandung di dalam Al Quran dan As Sunnah. Golongan yang lebih memahami kedua-dua sumber tersebut adalah golongan ulama’. Justeru, mengapa perlu kita mempertikaikan lagi kedudukan ulama’ di dalam sumber perundangan Islam?
Wallahua’alam

Rujukan
1. Al Quran
2. Islam, Fikrah, harakah dan Daulah, Tuan Guru Abdul hadi Awang
3. Muqaddimah Aqidah Muslimin, Tuan Guru Abdul Gadi Awang
4. http://www.manhal.pmram.org/2014/02/bagaimana-al-quran-sendiri-menyelar.html
5. http://zuridanmdaud.blogspot.com/2013/09/ulama-kedudukan-dan-peranan-mereka.html