Antara kegemaran saya dalam
mengisi masa lapang pada hujung minggu adalah berkunjung ke kedai buku.
Biasanya, setiap kali saya ke kedai buku, pasti akan ada satu buku yang akan
saya beli. Namun, kadang-kadang, ketika duit tidak ada di dalam poket, saya
hanya datang sekadar berkunjung, melihat-lihat lambakan buku yang tersusun di
rak kedai buku tersebut.
Baru-baru ini juga saya telah berkunjung ke kedai buku MPH di midvalley. Ketika saya melalui rak buku bahagian majalah, sebuah majalah remaja berjaya
menarik perhatian saya.
"Lebih kurang sama macam TRILOG..."
Dengan berkonsepkan majalah dakwah untuk remaja, majalah tersebut didatangkan
dalam bentuk komik dan penulisan santai, hampir sama seperti TRILOG.
Tarbiah Remaja Islam LOG (TRILOG)
TRILOG merupakan projek yang diasaskan oleh sahabat-sahabat saya dan saya
sendiri. Projek ini bermula apabila sahabat saya, Habib, dan saya menyedari wujudnya
dalam kalangan pelajar jurusan agama di universiti kami yang mempunyai bakat di
dalam melukis. Maka, kami kumpulkan kesemua mereka itu yang terdiri daripada
tiga orang, dan bersama-sama, kami mengasaskan TRILOG.
TRILOG merupakan satu projek dakwah yang ditampilkan di dalam bentuk majalah
komik. Antara matlamat utamanya adalah untuk menaikkan industri komik islamik
supaya dapat menjadi alternatif bagi manga-manga yang menjadi gilaan golongan
remaja di negara ini.
Alhamdulillah, setelah memakan masa hampir dua tahun, dan dengan bantuan
daripada senior yang berpengalaman serta beberapa orang sahabat daripada UM dan
IKIP, projek ini berjaya direalisasikan dengan keluarnya isu pertama di
pasaran.
Faktor Penarik
Saya terus membelek majalah tersebut. Hati saya sedikit gembira melihat betapa
usaha dakwah kreatif semakin bercambah di negara ini. Majalah dakwah berbentuk
komik antara salah satu penyumbangnya. Namun, usaha yang gigih harus
ditingkatkan bagi memastikan industri komik Islamik ini berjaya menawan dan
menambat hati masyarakat terutama golongan remaja dan belia untuk membacanya.
Antara cara ke arah itu adalah dengan berusaha untuk menampilkan karya kita,
baik penulisan mahupun lukisan ataupun apa sahaja bentuk dakwah, sekreatif
mungkin. Perlu ada di dalam setiap medium dakwah itu faktor penarik yang mampu
untuk mengikat hati mad'u.
Persoalannya, bagaimanakah cara untuk mendapatkan faktor penarik tersebut?
Secebis Kisah
Syeikh Abdurazzaq al Halabi ialah seorang ulama' ini Syria yang sangat
terkenal. Murid-murid beliau sangat ramai dan terkenal di seluruh dunia. Ulama'
besar ini wafat pada tahun 2013 yang lalu.
Suatu hari, Syeikh Abdurazzaq menyampaikan khutbah sepanjang 15 minit. Walaupun
ringkas, khutbah tersebut meninggalkan kesan mendalam dalam diri setiap
pendengarnya. Usai berkhutbah, beliau bertanya kepada seorang muridnya:
"Tahukah engkau berapa lama masa yang aku perlukan untuk menyiapkan
khutbah ini? Aku menyiapkan selama TUJUH HARI MEMBACA DAN TIGA JAM QIAMULLAIL
SETIAP MALAM.
Kisah ulama' di atas mempunyai
hikmah yang sangat mendalam jika ditenungi. Dalam kita menyampaikan dakwah,
kita boleh memerhatikan dua perkara bagi memastikan apa yang kita sampaikan itu
mampu menyentuh hati mad'u.
Mantapkan Ilmu
Perkara pertama adalah persiapan
yang mantap sebelum menyampaikan dakwah. Persiapan ini termasuklah memahami
skil-skil berdakwah, latar belakang sasaran dakwah dan sebagainya. Dan antara
yang terpenting di dalam persiapan dakwah kita adalah mempersiapkan diri kita
dengan ilmu sebagaimana yang dilakukan oleh Syeikh Abdurrazzaq yang
memperuntukkan dirinya selama tujuh hari untuk membaca buku hanya semata untuk
menyampaikan khutbah selama 15 minit.
Hablu Minallah
Seterusnya, usah dilupa akan
hubungan kita dengan Allah. Inilah sebenarnya perkara yang terpenting yang
harus dan wajib dilakukan oleh seorang pendakwah bagi memastikan dakwah yang
disampaikan itu mampu memberi kesan terhadap mad'u.
Hal ini kerana, hakikatnya, yang
memberi hidayah itu hanyalah Allah swt. Yang menyentuh hati itu hanyalah Allah
swt. Bukannya kita mahupun cara dan wasilah dakwah yang kita gunakan. Tidak
kiralah bagaimana kreatif dan unik pun medium dakwah yang kita gunakan, andai
Allah tidak mengizinkan dakwah itu sampai kepada hati mad'u, mad'u tidak akan
terkesan lansung dengan dakwah tersebut.
Hal inilah yang sebenarnya akan
menjadi faktor penarik di dalam penyampaian dakwah kita.
Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa wasilah dan medium dakwah
perlu sentiasa diperbaharui ke arah yang lebih kreatif agar ia mampu untuk
menembus masuk ke dalam realiti masyarakat. Namun, dalam masa yang sama, dua
perkara penting yang disebutkan di atas perlu terus diamalkan supaya usaha
dakwah ini dapat kekal berada dibawah rahmat Allah swt.
Seusai pulang dari kedai buku tersebut, saya segera mecapai
majalah TRILOG yang berada di atas meja saya dan terus menatapnya buat kesekian
kalinya. Dan di dalam hati saya terpasak satu keyakinan bahawa dakwah di negara
ini akan terus berkembang mekar pada masa hadapan.
Apa yang penting, hati kita terus kekal berada dekat dengan Allah
swt….
Khas buat sahabat TRILOG…
Kak Fatimah
Kaer
Anaxz
Enxsa
Maman
Rahmah
IFMoses
Kamil
Kamil
Musirrah
N. Hana
Aimi Ael
Syaukazd
dan juga…
Syahirah
Syukriah
Nuha
Fadhilah
0 comments:
Post a Comment