Sunday, 23 September 2012

Innoncence of Muslim: Satu Pandangan


Dunia Islam sekali lagi dikejutkan dengan pembikinan sebuah filem yang menghina Islam. Sebelum ini, peristiwa yang sama turut berlaku di Belanda apabila sebuah filem yang diberi judul ‘Submission’ dikatakan menghina Islam. Filem arahan Theo Van Gogh itu cuba memaparkan bagaimana wanita ditindas di dalam Islam. Kemudian, sebuah lagi filem dibikin di tempat yang sama. Sesuai dengan namanya, ‘Fitna’, filem pendek arahan Geert Wilders ini menfitnah umat Islam dengan menuduh agama Islam sebagai agama yang mempromosi keganasan. Filem ini mengemukakan beberapa ayat Al-Quran bagi membuktikan tuduhan mereka itu tetapi usahanya itu sekadar memaparkan kedangkalan akal sang pembuat filem ini sahaja apabila jelas ayat Al-Quran diputar-belit dengan mengambil sebahagian sahaja ayat dan meninggalkan sebahagian yang lain.
Geert Wilders Laknatullah

Kini, filem yang berjudul ‘Innoncence of Muslim’ mengulang kembali sejarah pahit penghinaan Musyrikin terhadap Islam.
Secara ringkasnya, filem ini diarahkan oleh seorang warga Amerika berketurunan Yahudi yang bernama Sam Bacile (kemudiannya didapati bahawa nama ini hanyalah sekadar nama samaran). Filem ini menghina peribadi Rasulullah saw dengan memaparkan baginda (sebagaimana yang dilakonkan oleh barisan pelakonnya) sebagai seorang yang gila seks, suka membunuh dan bermacam lagi. Trailer filem yang berdurasi 13 minit ini dimuat naikkan di laman Youtube manakala filem penuhnya dilaporkan telah ditayangkan sekali di sebuah panggung dengan bilangan penonton sekitar sepuluh orang.

Sikap Umat Islam
"KHARTOUM - Sekurang-kurangnya lima terbunuh dalam protes umat Islam, yang marah dengan filem yang menghina Nabi Muhammad SAW, hari ini menyerang Kedutaan Jerman dan Britain di ibu negara Sudan, Khartoum.
Serangan ke atas kedutaan Barat juga disaksikan di Tunisia. Di Tunis, asap kelihatan di kawasan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).Tiga orang terbunuh di Tunisia, seorang di Khartoum dan seorang lagi di Lubnan."
(sumber: Sinar Harian)
“Haah…kenape sampai macam tu…?” Saya mengeluh sendirian tatkala membaca keratan akhbar tersebut.
Terkadang saya berasa amat hairan, apa yang membuatkan mereka fikir bahawa tindakan mereka itu adalah sebagai tanda atau lambang kecintaan mereka kepada Rasulullah saw dan agama yang dibawa Baginda? Maksud saya tindakan mereka menyerang kedutaan, membaling kasut dan botol, membakar dan mengebom bangunan kedutaan tersebut. Adakah ini yang diajar oleh Nabi Muhammad saw? Adakah tindakan mereka itu mampu membantu memulihkan semula imej Islam yang kian tercalar ini? Adakah sikap itu akan meninggikan dan memartabatkan semula nama Islam di mata dunia?
Saya agak ragu-ragu jika jawapan yang diberikan adalah “ya.”

"Christopher Stevens terbunuh apabila sekumpulan penunjuk perasaan menyerang pejabat konsul Amerika menggunakan roket pelancar bom, sebelum membakar bangunan berkenaan kelmarin.



Keganasan itu dikatakan berpunca daripada penerbitan sebuah filem yang menimbulkan kemarahan umat Islam."

(sumber: Sinar Harian)

Hakikatnya, Islam ketika ini telah dipalit dengan imej agama yang menggalakkan keganasan. Filem ‘innoncence of Muslim’ itu sendiri yang cuba melahirkan kembali tuduhan ini. Lantas, adakah wajar kita membantah filem ini dengan keganasan juga. Tindakan kita yang pada asalnya ingin mempertahankan maruah Islam secara tidak lansung menjadi fitnah sebenarnya kepada agama Islam. Para aktivis anti Islam akan bertepuk tangan dan bersorak sorai apabila mereka melihat sikap umat Islam dalam menghadapi isu ini. Bayangkanlah, bagaimana mungkin kerana marahkan orang lain, kita menyerang, malah membunuh orang lain yang tidak ada kena mengena lansung dalam pembikinan filem tersebut. Ini semua, akan menjadi modal buat para aktivis anti Islam untuk terus-terusan menyebarkan propaganda mereka yang mengatakan Islam adalah agama keganasan.

Berdemonstrasi atau Beremosi?
Semasa zaman pemerintahan khulafa’ Ar Rasyidin yang kelima, Umar bin Abdul Aziz, seorang tentera Islam yang ditawan telah dihina dan dimalukan oleh tentera Byzantine. Apabila mendapat sahaja pengkhabaran tersebut, Umar bin Abdul Aziz terus mengutus sepucuk surat kepada kaisar Rom ketika itu. Antara isi kandungan surat tersebut ialah:
“…Sebelum kamu meletakkan surat ini, aku menuntut agar kamu melepaskan tentera Islam itu atau jika tidak, demi Allah! Aku akan hantarkan kebinasaan kepada kamu yang akan bermula di sini dan berakhir di mana kamu berada sekarang!”
Sebuah lagi kisah yang sangat masyhur sewaktu zaman pemerintahan khalifah Al Mu’ tasim. Seorang wanita muslimah telah ditampar di tanah Byzantine. Berita tersebut sampai kepada Khalifah Al Mu’tasim lalu beliau terus menghantar segerombolan tentera Islam ke tanah Byzantine tersebut untuk mempertahankan maruah muslimah tersebut.
Kebanyakan mereka yang berdemonstrasi sering menggunakan kisah-kisah seperti di atas untuk membenarkan tindakan mereka. Kata mereka, dalam hal menegakkan dan mempertahankan maruah Islam, kita perlu bertegas. Tidak seharusnya bagi seorang yang menggelarkan diri mereka sebagai Muslim, duduk berpeluk tubuh di rumah tatkala mendengar agama Islam dihina.  Mereka perlu cakna dan prihatin terhadap isu yang berlaku dalam dunia Islam. Dan demonstrasi adalah salah satu cara untuk menzahirkan keprihatinan tersebut.
Justeru, adakah kita tidak boleh berdemonstrasi lansung sekiranya agama Islam dihina sekali lagi?
Saya bukanlah ingin menghalang mereka yang berdemonstrasi membantah peghinaan terhadap agama Islam jauh sekali mengatakan demonstrasi itu haram. Bahkan, andai kata dibuiat demonstrasi di tempat saya berada sekarang ini, insya Allah saya akan turut menyertainya. Apa yang cuba saya sampaikan ini adalah berpada-padalah dalam berdemonstrasi. Tidak perlulah sehingga menyerang dan membunuh orang yang tidak bersalah.

Bagi saya, cukuplah kita sekadar berdemonstrasi untuk menunjukkkan keprihatinan kita terhadap isu Islam. Tidak perlulah berdemonstrasi sehingga ke kedutaan. Dalam demonstrasi yang dilakukan itu, terapkanlah semangat jihad dalam kalangan umat Islam dan serulah mereka agar kekal istiqamah dalam mempertahankan maruah Islam. Hal ini kerana, berapa ramai dalam kalangan umat Islam, sekiranya kita perhatikan, cukup bersemangat ketika berada dalam satu perhimpunan tunjuk perasaan. Berdegar-degar laungan mereka dilontarkan kononnya mereka ingin memperjuangkan Islam. Beribu-ribu sepanduk diangkat ketika demonstrasi yang tertulis pelbagai kata-kata semangat dan igutan. “ Kami sayang akan Islam”, “Jangan hina agama kami”, “Maruah Islam akan kami pertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir”, dan bermacam-macam lagi. Bendera Israel dan Amerika, entah berapa kali dibakarnya. Namun, selesai sahaja perhimpunan, orang yang sama, akan duduk berkumpul di kaki-kaki lima dan kedai-kedai kopi sambil membakar pula puntung-puntung rokok untuk dihisap. Hilang sudah semangat Islam yang berkobar-kobar tadi.
Sebab itulah saya tertawa sendiri apabila melihat gambar yang dikirim beberapa orang sahabat di laman facebook yang menggambarkan sikap umat Islam ketika berdemonstrasi.

Lalu, apa yang patut kita lakukan dalam menghadapi isu seperti ini?
Tugas Kita
Saya ada membangkitkan satu persoalan di facebook tentang kerelevanan demonstrasi membantah filem tersebut. Alhamdulillah, beberapa orang ada memberi respon. Daripada situ, saya membuat kesimpulan  apa yang patut kita lakukan dalam menghadapi isu penghinaan Islam seperti ini.
11)        Melaksanakan segala pa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan segala apa yang dilarang-Nya.
22)      Cuba sedaya upaya untuk mengikuti segala sunnah Rasulullah saw sebagai bukti kecintaan kita kepada    Baginda.
33)      Membangkitkan Islam di tempat masing-masing dengan konsep amar makruf nahi munkar
44)    Berdoa kepada Allah agar dtimpakan kepada mereka yang bertanggungjawab balasan yang setimpal dengan tindakan mereka itu.
Bagi saya, inilah tugas kita sebagai orang awam bagi menangani isu ini. Adapun, selebihnya terletak ke atas bahu pemimpin Islam.  Sebenarnya, sekiranya kita teliti semula kisah dua orang pemimpin Islam di atas, kita akan dapati bahawa seorang pemimpin Islam yang tegas sudah cukup untuk menimbulkan kegentaran dalam hati-hati orang kafir. Kita memerlukan pemimpin yang apabila mendapat tahu Islam dihina, berani untuk bangkit dalam dewan PBB lantas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut sambil mendesak dengan setegas-tegasnya kerajaan negara yang bertanggungjawab mengenakan hukuman yang setimpal kepada mereka yang bersalah sebagaimana beraninya Umar bin Abdul Aziz mengutus surat kepada governor Rom demi mempertahankan maruah umat Islam. Bukannya pemimpin yang hanya sekadar mengeluarkan kenyataan membantah penghinaan terhadap Islam dalam media-media tempatan sambil duduk di atas kerusi empuk.
We Need an Action Man    
 Sedarlah wahai umat Islam! Kita semua berada dalam suatu zaman yang dipanggil sebagai zaman fitnah. Dalam zaman ini, kita memerlukan seorang Muslim yang bertindak, bukan hanya sekadar berkata-kata. Berdemonstrasilah bagi membantah peghinaan dan penindasan ke atas umat Islam, tetapi pada masa yang sama, tunaikanlah tanggungjawabmu sebagai seorang hamba Allah. Berdemonstrasilah bagi menunjukkan keprihatinan dan kecintaan kita kepada Allah dan Rasul-Nya, tetapi janganlah lupakan segala suruhan dan larangan-Nya berserta seluruh sunnah Rasul-Nya. Berdemonstrasilah bagi menggentarkan hati-hati orang kafir yang memusuhi Islam, tetapi berpada-padalah agar kita tidak pula menjadi fitnah buat Islam.
Buat akhirnya, renungilah kisah ini:
Seorang rakyat Palestin telah ditemuramah oleh seorang wartawan. Antara yang ditanya ialah apa yang mereka rakyat Palestin harapkan daripada umat Islam di seluruh dunia.
Jawab beliau:
“Kami tak mengharapkan apa-apa bantuan persenjataan daripada kamu…”
“…Kami juga tidak mengharapkan bantuan makanan, pakaian, mahupun bangunan…”
“…tetapi apa yang kami harapkan adalah…”
“…kamu, umat Islam di seluruh dunia, dapat MEMBANGKITKAN ISLAM DALAM DIRI KAMU DAN MASYARAKAT DI SEKELILING KAMU agar khilafah Islamiyyah dapat ditegakkan…”
“…hanya dengan itulah, kamu dapat membantu kami…”

0 comments:

Post a Comment