Sunday, 9 November 2014

Cerita Umat Islam


Saya pernah menonton filem Lord of The Ring tetapi bukan triloginya. Saya tidak menonton semua. Hanya yang sempat saya tonton adalah sirinya yang terakhir iaitu The Return of The King.
Sungguhpun begitu, saya tertarik dengan satu kata-kata karakter di dalam filem tersebut yang terdapat di dalam siri kedua filem tersebut iaitu The Two Towers. (walaupun saya tidak menonton siri ini)
Kata-kata ini diucapkan oleh Sam kepada Frodo sewaktu Frodo hampir berputus asa di dalam misinya.
“It’s like in the great stories
The one that really mattered
Full of darkness and danger they were…”
Cerita Umat Islam
Realiti yang berlaku ke atas umat Islam pada hari ini bagaikan sebuah cerita fantasi, kisah dongengan yang mempunyai jalan penceritaan yang klise.
Kehidupan watak utama di dalam mana-mana cerita rekaan biasanya digambarkan dalam keadaan penuh kesengsaraan dan kesusahan.
Pelbagai dugaan dan cabaran menerpa ke arah mereka.
Dalam hal ini, umat Islam adalah watak utamanya.
Apa yang berlaku ke atas umat Islam sekarang ini penuh dengan kegelapan.
Mereka dicaci, dimaki, dicerca dan dihina. Tidak cukup dengan itu, umat Islam turut diinjak dan dipijak dan negara mereka diserang dan diperang.
Inilah realiti yang berlaku ke atas umat Islam pada hari ini.
Di Palestin, penderitaan yang dihadapi mereka sudah memakan masa kira-kira 60 tahun lebih. Semenjak ditubuhkan negara haram Israel  pada tahun 1948, umat Islam di sana telah dizalimi dan diperlakukan sewenang-wenangnya. Perumahan mereka dirobohkan. Mereka dihalau daripada kampung halaman sendiri. Hak-hak mereka dirampas dan banyak lagi. Terkini, pihak Israel Zionis laknatullah cuba untuk menafikan hak umat Islam Palestin untuk bersolat di dalam Masjid Al Aqsa.SINI

Perang di Syria pula masih lagi berlanjutan. Pertempuran yang pada asalnya hanya melibatkan di antara pihak dalaman iaitu pemberontak dan pemerintah kini mula melibatkan juga campur tangan pihak luar terutama Amerika. Mangsanya, masyarakat awam.SINI

Di Asia Timur, Umat Islam Rohingya pula terus menerus dinafikan hak mereka sebagai penduduk Myanmar. Terbaru, pelarian Rohingya telah diberikan masa selama tiga minggu untuk keluar daripada Myanmar.SINI

Mesir menyaksikan satu kebangkitan rakyat secara besar-besaran sehingga mengakibatkan pemerintah diktaktor Hosni Mubarak berjaya digulingkan. Setelah itu, telah berlaku satu proses pengundian yang paling adil pernah berlaku di dalam sejarah negara Mesir. Kesannya, Parti Kebebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwanul Muslimin bejaya memenangi pilihanraya tersebut dan Morsi naik menjadi presiden. Namun, tempoh pentadbirannya tidak lama. Dalam masa hanya setahun pentadbiran, beliau telah dijatuhkan pula melalui satu konspirasi yang dilakukan oleh Jeneral As Sisi. Kemenangan Presiden Morsi dalam pilihanraya pada awalnya dilihat sebagai satu sinar baru dalam kebangkitan umat Islam, padam tatkala beliau dijatuhkan secara tidak terhormat. Umat Islam kembali ditekan dan ditindas.
Banyak lagi penderitaan umat Islam yang berlaku di seluruh negara seperti di Iraq, Afghanistan, Kashmir, Bosnia, Somalia dan banyak lagi. Semua ini tidak mampu untuk dikisahkan di sini.
Namun apa yang pasti, umat Islam terus menerus dizalimi.
Terlalu banyak cerita duka yang berlaku ke atas umat Islam sehingga kelihatan seakan ia tidak akan ada pengakhirannya.
Bahkan jika ia ada pengakhirannya pun,kita akan merasakan bahawa  kita tidak akan sanggup untuk menghadapinya…
“And sometimes you didn’t want to know the end
Because how could the end be happy
How could the world go back to the way it was
When so much bad had happened…”
Sinar Harapan
Namun, Allah SWT itu Maha Adil. Dipergilirkan sesuatu itu sesuai mengikut aturannya.
“…But in the end,
It’s only a passing thing
This shadow
even darkness must pass…”
Penderitaan itu pasti akan berlalu juga. Tidak kira berapa lama masa yang diambil, ia tetap pasti akan berlalu.
Dan ia akan dimulakan dengan yang dinamanya kesedaran. Kesedaran terhadap isu umat Islam seterusnya membawa kepada kesedaran untuk mengubah diri.Daripada diri akan timbul pula kesedaran untuk mengubah keluarga dan daripada keluarga, wujud kesedaran untuk mengubah masyarakat. Dan daripada kesedaran inilah, akan timbulnya satu kebangkitan.
Kebangkitan dari sudut ilmu.
Kebangkitan dari sudut ekonomi.
Kebangkitan dari sudut politik.
Kebangkitan dari segenap aspek dalam kehidupan.
Saya melihat proses itu sudah mula berjalan. Tidak perlu pergi jauh, di Malaysia sahaja sudah wujudnya kesedaran dalam kalangan masyarakat. Apa yang lebih menggembirakan, kesedaran itu turut didokongi oleh golongan muda yang akan mewarisi kepimpinan dunia kelak.
Anak muda sudah mula berjinak-jinak dengan pengajian agama yang mendalam.
Mereka juga bersungguh di dalam mentarbiah diri mereka dengan nilai-nilai Islam.
Tidak ketinggalan juga yang berusaha untuk membentuk intelektual mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Bahkan ada juga yang semakin berani memperjuangkan keadilan bagi menjatuhkan kezaliman.

Saya yakin perkara yang sama juga berlaku di seluruh dunia.
Semua ini terjadi disebalik meningkatnya penindasan ke atas umat Islam.
Seakan-akan memberi petanda bahawa mentari pagi mula menyinar di sebalik kelamnya kegelapan malam itu…
“…A new day will come
and when the sun shines,
it will shine out the clearer”
-Sam LOTR-
Kebangkitan yang Satu
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).”
(An Nur: 55)
Kebangkitan itu sudah bermula. Namun perlu terus ditingkatkan dan disebarluaskan lagi. Hal ini menuntut usaha yang bersungguh sungguh dan berterusan daripada kita.
Dan juga jangan dilupa, kebangkitan semata tidak cukup untuk mengatasi gelapnya kezaliman itu. Kita juga memerlukan apa yang dipanggil sebagai kesatuan.

Teruskan berdoa untuk saudara kita….

Wednesday, 5 November 2014

Travelog Dakwah 1


Antara kegemaran saya dalam mengisi masa lapang pada hujung minggu adalah berkunjung ke kedai buku. Biasanya, setiap kali saya ke kedai buku, pasti akan ada satu buku yang akan saya beli. Namun, kadang-kadang, ketika duit tidak ada di dalam poket, saya hanya datang sekadar berkunjung, melihat-lihat lambakan buku yang tersusun di rak kedai buku tersebut.

Baru-baru ini juga saya telah berkunjung ke kedai buku MPH di midvalley. Ketika saya melalui rak buku bahagian majalah, sebuah majalah remaja berjaya menarik perhatian saya.

"Lebih kurang sama macam TRILOG..."
Dengan berkonsepkan majalah dakwah untuk remaja, majalah tersebut didatangkan dalam bentuk komik dan penulisan santai, hampir sama seperti TRILOG.



Tarbiah Remaja Islam LOG (TRILOG) 

TRILOG merupakan projek yang diasaskan oleh sahabat-sahabat saya dan saya sendiri. Projek ini bermula apabila sahabat saya, Habib, dan saya menyedari wujudnya dalam kalangan pelajar jurusan agama di universiti kami yang mempunyai bakat di dalam melukis. Maka, kami kumpulkan kesemua mereka itu yang terdiri daripada tiga orang, dan bersama-sama, kami mengasaskan TRILOG.

TRILOG merupakan satu projek dakwah yang ditampilkan di dalam bentuk majalah komik. Antara matlamat utamanya adalah untuk menaikkan industri komik islamik supaya dapat menjadi alternatif bagi manga-manga yang menjadi gilaan golongan remaja di negara ini.
Alhamdulillah, setelah memakan masa hampir dua tahun, dan dengan bantuan daripada senior yang berpengalaman serta beberapa orang sahabat daripada UM dan IKIP, projek ini berjaya direalisasikan dengan keluarnya isu pertama di pasaran.



Faktor Penarik

Saya terus membelek majalah tersebut. Hati saya sedikit gembira melihat betapa usaha dakwah kreatif semakin bercambah di negara ini. Majalah dakwah berbentuk komik antara salah satu penyumbangnya. Namun, usaha yang gigih harus ditingkatkan bagi memastikan industri komik Islamik ini berjaya menawan dan menambat hati masyarakat terutama golongan remaja dan belia untuk membacanya.

Antara cara ke arah itu adalah dengan berusaha untuk menampilkan karya kita, baik penulisan mahupun lukisan ataupun apa sahaja bentuk dakwah, sekreatif mungkin. Perlu ada di dalam setiap medium dakwah itu faktor penarik yang mampu untuk mengikat hati mad'u.
Persoalannya, bagaimanakah cara untuk mendapatkan faktor penarik tersebut?



Secebis Kisah

Syeikh Abdurazzaq al Halabi ialah seorang ulama' ini Syria yang sangat terkenal. Murid-murid beliau sangat ramai dan terkenal di seluruh dunia. Ulama' besar ini wafat pada tahun 2013 yang lalu.

Suatu hari, Syeikh Abdurazzaq menyampaikan khutbah sepanjang 15 minit. Walaupun ringkas, khutbah tersebut meninggalkan kesan mendalam dalam diri setiap pendengarnya. Usai berkhutbah, beliau bertanya kepada seorang muridnya: "Tahukah engkau berapa lama masa yang aku perlukan untuk menyiapkan khutbah ini? Aku menyiapkan selama TUJUH HARI MEMBACA DAN TIGA JAM QIAMULLAIL SETIAP MALAM.
Kisah ulama' di atas mempunyai hikmah yang sangat mendalam jika ditenungi. Dalam kita menyampaikan dakwah, kita boleh memerhatikan dua perkara bagi memastikan apa yang kita sampaikan itu mampu menyentuh hati mad'u.

Mantapkan Ilmu
Perkara pertama adalah persiapan yang mantap sebelum menyampaikan dakwah. Persiapan ini termasuklah memahami skil-skil berdakwah, latar belakang sasaran dakwah dan sebagainya. Dan antara yang terpenting di dalam persiapan dakwah kita adalah mempersiapkan diri kita dengan ilmu sebagaimana yang dilakukan oleh Syeikh Abdurrazzaq yang memperuntukkan dirinya selama tujuh hari untuk membaca buku hanya semata untuk menyampaikan khutbah selama 15 minit.

Hablu Minallah
Seterusnya, usah dilupa akan hubungan kita dengan Allah. Inilah sebenarnya perkara yang terpenting yang harus dan wajib dilakukan oleh seorang pendakwah bagi memastikan dakwah yang disampaikan itu mampu memberi kesan terhadap mad'u.
Hal ini kerana, hakikatnya, yang memberi hidayah itu hanyalah Allah swt. Yang menyentuh hati itu hanyalah Allah swt. Bukannya kita mahupun cara dan wasilah dakwah yang kita gunakan. Tidak kiralah bagaimana kreatif dan unik pun medium dakwah yang kita gunakan, andai Allah tidak mengizinkan dakwah itu sampai kepada hati mad'u, mad'u tidak akan terkesan lansung dengan dakwah tersebut.
Hal inilah yang sebenarnya akan menjadi faktor penarik di dalam penyampaian dakwah kita.
Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa wasilah dan medium dakwah perlu sentiasa diperbaharui ke arah yang lebih kreatif agar ia mampu untuk menembus masuk ke dalam realiti masyarakat. Namun, dalam masa yang sama, dua perkara penting yang disebutkan di atas perlu terus diamalkan supaya usaha dakwah ini dapat kekal berada dibawah rahmat Allah swt.

Masa Depan Dakwah
Seusai pulang dari kedai buku tersebut, saya segera mecapai majalah TRILOG yang berada di atas meja saya dan terus menatapnya buat kesekian kalinya. Dan di dalam hati saya terpasak satu keyakinan bahawa dakwah di negara ini akan terus berkembang mekar pada masa hadapan.
Apa yang penting, hati kita terus kekal berada dekat dengan Allah swt….


Khas buat sahabat TRILOG…
Kak Fatimah
Kaer
Anaxz
Enxsa
Maman
Rahmah
IFMoses
Kamil
Musirrah
N. Hana
Aimi Ael
Syaukazd

dan juga…
Syahirah
Syukriah
Nuha

Fadhilah