Saturday, 8 September 2012

3 Syarat

Dikisahkan suatu hari sedang seorang alim selesai mengajar agama di  satu majlis ilmu, beliau duduk berehat bersama anak-anak muridnya. Tiba-tiba, seorang wanita cantik datang untuk bertemu dengan orang alim tersebut. Kecantikkan perempuan tersebut menyebabkan semua anak-anak murid orang alim tersebut berpaling ke arahnya. Kemudian, perempuan tersebut menyatakan hasrat agar orang alim itu mengahwinkan dia dengan salah seorang daripada anak-anak murid beliau, tetapi dengan 3 syarat.


-Syarat pertama ialah bakal suaminya itu tiap-tiap malam mesti mengkhatamkan bacaan al-Quran 30 juzu'.


-Syarat kedua pula, setiap hari suaminya itu hendaklah sentiasa mendirikan ibadat sepanjang malam.


-Syarat ketiga ialah suaminya hendaklah berpuasa setiap hari sepanjang tahun.


Maka dengan syarat ini, anak-anak murid yang memiliki hasrat untuk berkahwin dengan perempuan tersebut hilang rasa keinginan itu. Orang alim pun menawarkan kepada para anak murid siapa yang sanggup berkahwin dengan perempuan ini. Akhirnya sahabat yang berada jauh ke belakang sanggup berkahwin dengan perempuan tersebut dengan menunaikan ketiga-tiga syarat tersebut.


Setelah sahabat tersebut berkahwin dengan perempuan yang cantik jelita itu berbulan-bulan lamanya, akhirnya perempuan itu melihat suaminya itu, semakin hari semakin kurang membaca al-Quran, kurang beribadat pada waktu malam, kurang berpuasa. Lalu dia pun pergi berjumpa orang alim menceritakan hal suaminya yang telah mengingkari janjinya. Lalu orang alim memanggil anak murid tersebut dan bertanyakan kenapa dia tidak menunaikan janjinya ketika mula-mula ingin mengahwini isterinya itu.


Lalu, sahabat tersebut menyatakan "Wahai guruku! Bukankah engkau pernah menyatakan bahawa pahala membaca Surah Qul Huwallahu Ahad satu kali menyamai pahala membaca 10 juzu' daripada al-Quran? Jadi aku membacanya sebanyak 3 kali.
Orang alim menjawab: Ya.



Kemudian, Wahai Guruku!Bukankah engkau pernah menyebut bahawa dengan membaca Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, maka pahalanya menyamai ibadat sepanjang malam?
Orang alim menjawab: Ya.



Wahai Guruku!: Bukankah engkau pernah berkata bahawa barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) 6 hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama 1 tahun?
Orang alim menjawab: Ya.



Dengan ketiga-tiga jawapan anak murid tersebut, isterinya meraikannya dengan senyuman kesyukuran.


Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda :
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
[Sahih Muslim hadis no: 1164].

0 comments:

Post a Comment