Seorang imam baru sahaja
berpindah ke sebuah pekan kecil di kota London. Disebabkan kedudukan pekan
tersebut yang jauh dari bandar utama, dia terpaksa berulang-alik dari pekan
tersebut ke bandar utama dengan menaiki bas. Maka, setiap minggu, imam tersebut
akan menaiki bas yang sama untuk ke bandar utama.
Pada suatu hari, ketika si imam
hendak pergi ke bandar dengan menaiki bas, dia mendapati pemandu bas tersebut
terlebih memberi baki sebanyak 20 sen
kepada dia. Si imam duduk sambil berfikir apa yang patut dia lakukan. Hatinya
terdetik; “aku perlu pulangkan duit ini kepada pemandu bas itu semula. Mungkin
dia tersilap bagi atau terlepas pandang,”. Kemudian dia berfikir lagi; “Ahh,
20 sen je pun. Siapa la yang kisah dengan duit ni. Lagi pula pemandu bas tu dah
dapat banyak duit daripada penumpang yang lain. Mungkin ini rezeki daripada
Allah kepada aku,”
Sedang dia asyik berkira-kira apa
yang patut dilakukan, bas tersebut sampai ke destinasi yang dituju. Tanpa
berlengah, si imam terus bergerak untuk turun daripada bas. Apabila dia
menghampiri pintu bas, imam tersebut tiba-tiba berhenti. Dia lalu berpusing dan
menoleh ke arah pemandu bas tersebut sambil berkata; “Minta maaf, tadi kamu
beri kepada saya baki terlebih 20 sen,”Imam itu akhirnya memulangkan semula
duit 20 sen tersebut kepada pemandu bas itu.
Pemandu bas menerima duit
tersebut dengan senyuman. Dia lalu berkata; “ kamu imam di pekan kecil tadi
bukan? Saya ada terfikir untuk masuk ke dalam agama kamu tapi saya perlukan
sedikit keyakinan untuk masuk ke dalam agama kamu.
Saya sengaja memberi baki lebih 20 sen kepada kamu untuk mendapatkan keyakinan
tersebut. Ternyata agama kamu mengajar penganutnya menjadi seorang yang sangat
jujur. Maka, saya kira itu sudah cukup untuk meyakinkan saya untuk menganut
agama kamu,”
Turun sahaja daripada bas
tersebut, seluruh tubuh si imam menggeletar dan kakinya terasa sangat lemah.
Hampir-hampir sahaja di jatuh pengsan. Dia lalu memohon keampunan daripada
Allah sambil berkata; “ Ya Allah, aku hampir sahaja menjual Islam dengan harga
20 sen. Ampunkanlah aku ya Allah…”
Ingatlah sahabat-sahabat, kita
tidak tahu apa impaknya setiap perbuatan kita terhadap orang lain.
Kadang-kadang, kita mungkin adalah satu-satunya sumber Islam yang boleh dirujuk
oleh orang lain atau satu-satunya Muslim yang diperhatikan oleh orang kafir
yang lain. Justeru, apa yang perlu kita lakukan ialah sentiasa berhati-hati
dengan menerapkan dan membiasakan akhlak Islamiah dalam diri kita dan
sentiasalah berlaku jujur dalam kehidupan sehari-harian kita. Siapa tahu, Insya
Allah, dengan usaha kita itu, kita mampu menarik minat orang kafir yang lain
untuk menganut agama Islam sebagaimana kisah di atas.
0 comments:
Post a Comment